Home » Aspirasi » Anak muda Kelantan buktikan pesawah boleh berjaya

Anak muda Kelantan buktikan pesawah boleh berjaya

Muhammad Fadhlan bersama hadiah yang dimenanginya. - Foto Malaysia Gazette

SERI KEMBANGAN – Bagi kebanyakan golongan muda, bidang pertanian apatah bersawah padi suatu yang jarang diminati atau menjadi pilihan kerjaya mereka.

Mungkin kerjaya ini memerlukan komitmen dan kerajinan luar biasa menyebabkan ia tidak popular kepada generasi muda.

Tetapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa, mendorong seorang anak muda, Muhammad Fadhlan Suhaimi, 29, untuk berkecimpung secara serius dalam tanaman sawah padi.

Ternyata, usahanya berbaloi apabila anak kelahiran Pasir Puteh Kelantan ini berjaya membuktikan ada hujan emas di bumi sendiri dan bersawah padi menjamin masa depan cerah, seperti mana kerjaya lain.

Anak ketiga dari lima beradik itu berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia sebelum menamatkan Sijil Kemahiran Elektrikal di Kolej Komuniti Kuantan, Pahang.

Beliau menjadi pesawah dengan mewarisi sawah padi yang ditinggalkan oleh arwah datuknya empat tahun lalu.

Katanya, sebelum meninggal dunia, arwah datuknya berpesan supaya dia meneruskan kerja-kerja sawah.

“Saya mula bersawah selepas kematian datuk.

“Dulu saya pernah ikut arwah dan kawan-kawan di kampung menanam padi sejak berusia 16 tahun namun sejak pemergian Allahyarham, saya mula mula usahakan tanah sawah yang ditinggalkannya secara serius.

“Kawan-kawan serta jiran yang turut bersawah membimbing saya cara mengusahakan sawah, sekali gus menambah minat saya.

“Pesanan kawan-kawan minta saya cuba dulu, siapa tahu ada rezeki boleh dapat hasil lumayan dan hari ini saya berjaya.

“Dengan bersawah, ia menyedarkan saya tentang pengorbanan seorang pesawah dalam menyediakan nasi untuk komuniti sejagat,” katanya.

Muhammad Fadhlan diangkat sebagai pemenang Anugerah Pesawah Belia di Majlis Anugerah Tani Bernas 2019 yang disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta imbuhan tambahan iaitu sebuah Motosikal Kriss MR2, trofi dan sijil.

Menurutnya, dia tidak berhasrat untuk meninggalkan kampungnya sebaliknya mahu terus mengembangkan kerjayanya sebagai pesawah.

Impiannya itu terus mendapat sokongan ayah dan ibu.

“Mereka tak kecewa sebaliknya gembira saya hendak mewarisi kerjaya datuk untuk bersawah.

“Percayalah kalau kita berbudi kepada tanah, apa yang ditanam (padi) pasti akan dapat hasilnya.

“Selalu kena ingat, tanpa pesawah tidak ada beras. Jadi, kita perlu ada semangat, jiwa kental, tabah dan jangan rendahkan diri kerana kerjaya sebagai pesawah. Lawan cabaran yang mendatang, Insya Allah akan berjaya juga,” katanya yang sudah mampu memiliki aset sendiri dalam usia muda.

Beliau yang kini mengusahakan 30 ekar tanah sawah berhasrat mahu meluaskan tanaman kepada 50 ekar pada masa depan.

Ketika ini Muhammad Fadhlan menghasilkan jualan 136 matrik tan padi. – Malaysia Gazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *