Home » Langit Terbuka » Arab Saudi tetapkan 5 ejen asing bagi setiap penyedia perkhidmatan umrah

Arab Saudi tetapkan 5 ejen asing bagi setiap penyedia perkhidmatan umrah

Penyedia perkhidmatan umrah dan ejen asing turut bertanggungjawab memastikan kesedaran jemaah untuk mematuhi sepenuhnya peraturan bagi mengelakkan penularan COVID-19. - Foto TribuneNews

MAKKAH – Kementerian Haji dan Umrah menetapkan lima ejen asing bagi setiap syarikat penyedia perkhidmatan umrah di negara yang menghantar jemaah ibadat itu.

Sumber kementerian itu berkata, pihak kementerian bagaimanapun akan mempertimbang untuk meningkatkan bilangan ejen asing terbabit sekiranya perlu.

Menurut laporan Saudi Gazette, semalam, ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Makkah, Mazen Darar, memaklumkan bahawa mekanisme untuk interaksi antara syarikat umrah dengan ejen asing mereka adalah hampir sama seperti sebelum ini.

Bawah mekanisme itu, ejen asing akan menguruskan tempahan bagi pakej umrah dan melengkapkan prosedur pengeluaran visa ibadat berkenaan, manakala perkara lain dikendalikan oleh pihak syarikat.
Beliau berkata, lebih banyak mekanisme serta protokol kesihatan ditambah ke atas jemaah dalam fasa ketiga pembukaan semula perkhidmatan umrah yang dilaksanakan secara berperingkat.

Antaranya, kumpulan pemantau dan petugas kesihatan mesti menemani jemaah dalam semua fasa bermula dari ketibaan di lapangan terbang, sepanjang tempoh mengerjakan umrah termasuk ketika melawat Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sehinggalah mereka pulang ke tanah air masing-masing.

Pakej umrah bagi setiap jemaah antara lain mesti merangkumi kemudahan penginapan untuk tiga hari kuarantin sebaik saja tiba di Arab Saudi, perkhidmatan pengangkutan, perkhidmatan insurans penuh, dan seorang ketua serta mutawif mengiringi setiap kumpulan.

Penyedia perkhidmatan umrah dan ejen asing turut bertanggungjawab memastikan kesedaran jemaah untuk mematuhi sepenuhnya peraturan bagi mengelakkan penularan COVID-19. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *