Home » Langit Terbuka » Dr Mahathir mahu Malaysia cipta dron buatan sendiri

Dr Mahathir mahu Malaysia cipta dron buatan sendiri

Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu mencontohi China dalam menguasai teknologi yang membolehkan negara itu menjadi pengeluar utama banyak produk

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Malaysia meneroka teknologi baharu, termasuk menghasilkan dron buatan sendiri dan industri kepintaran buatan.

Beliau berkata, untuk mencapai status negara maju, Malaysia perlu menjadi pengeluar.

“Saya harap kita, Malaysia, tidak akan terus-menerus menjadi pengguna produk keluaran orang lain.

“Kita begitu ketinggalan dari segi itu kerana kita suka menggunakan barang yang dicipta dan dihasilkan orang lain, kita tidak menghasilkannya sendiri,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran makmal Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (Muda) di Australian International School Malaysia, Seri Kembangan, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan pengasas Muda, Datuk Lester Tay Kean Boon.

Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu mencontohi China dalam menguasai teknologi yang membolehkan negara itu menjadi pengeluar utama banyak produk.

“Saya dapati, China bukan sahaja mahu menggunakan produk dari negara lain, tetapi mereka juga mahu mengeluarkan sendiri produk berkenaan. Mereka mampu menghasilkan semua jenis produk, yang selama ini kita import dari negara lain.

“Sekarang mereka melibatkan diri dalam menghasilkan kapal terbang, roket, satelit, menghantar manusia ke angkasa dan banyak lagi… jika China boleh melakukannya, saya tidak nampak kenapa Malaysia tidak boleh,” katanya.

Menzahirkan minat beliau terhadap teknologi, Dr Mahathir berkata, pembangunan teknologi boleh menambah baik kehidupan manusia, sebagai contoh, inovasi dalam pengeluaran alat kawalan jauh menjadikan televisyen lebih mudah untuk ditonton.

Beliau berkata, teknologi kawalan jauh kini berkembang kepada penghasilan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan sekarang dron digunakan dalam peperangan dan bidang lain.

Sambil menegaskan mengenai peri pentingnya memahami dan menguasai kepintaran buatan, Dr Mahathir menyuarakan harapan agar teknologi itu akan membantu melahirkan minat rakyat Malaysia untuk membangunkan, mengawal dan mengurus teknologi. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *