Home » Langit Terbuka » Wujud mekanisme khas bantu tuntutan nafkah

Wujud mekanisme khas bantu tuntutan nafkah

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Sokongan Keluarga akan memberi tempoh enam bulan kepada suami selepas diputuskan oleh mahkamah, untuk membayar nafkah isteri yang diceraikan

PARIT BUNTAR – Kerajaan akan mewujudkan satu mekanisme baharu bagi membela golongan wanita yang ditindas untuk menuntut nafkah selepas diceraikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Katanya, antara mekanisme itu ialah membolehkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menggunakan kaedah seperti menuntut caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dari akaun bank bekas suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan itu, setelah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Menurutnya Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) akan memberi tempoh enam bulan kepada suami selepas diputuskan oleh mahkamah, untuk membayar nafkah isteri yang diceraikan itu.

“Dalam tempoh enam bulan itu, jika wanita tidak mendapat nafkah, tindakan undang-undang akan diambil terhadap bekas suami selain akan menuntut bayaran selama enam bulan nafkah yang diberikan BSK dari suami berkenaan sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Temurapat Bersama Petani di pekarangan Surau Pak Kassim, Tanjung Piandang, di sini.

Baru-baru ini, Mujahid dilaporkan berkata, sekatan terhadap akaun bank suami yang ‘liat’ membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak adalah antara cadangan kerajaan untuk menguatkuasakan keadilan syariah kepada golongan berkenaan.

Pada masa ini, katanya, perbincangan mengenainya sedang dilakukan bagi memperincikan penguatkuasaan lebih ketat terhadap keadilan syariah bagi wanita yang menjadi mangsa pengabaian bekas suami selepas perceraian walaupun sudah mendapat arahan mahkamah.

Mujahid berkata, beliau akan bertemu dengan BSK dalam masa terdekat untuk membincangkan lebih lanjut daripada aspek perundangan berhubung mekanisme baharu tuntutan nafkah itu kerana ia membabitkan pentadbiran negeri yang mempunyai peraturan dan undang-undang keluarga Islam yang berbeza. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *