Home » Langit Terbuka » Ibu tunggal punyai anak buta gembira terima bantuan Yadim

Ibu tunggal punyai anak buta gembira terima bantuan Yadim

SERI KEMBANGAN: “Saya bersyukur menerima bantuan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kerana sedikit sebanyak ia dapat membantu meringankan beban,” kata penghantar makanan, Azimah Abd Rahim.

Azimah, 37, yang tular baru-baru ini apabila seorang pengguna TikTok berkongsi video memperlihatkan dia membawa bersama anak perempuannya yang buta berusia enam tahun ketika bekerja sebagai penghantar makanan.

Dia yang juga ibu tunggal hadir menaiki motosikal bersama anaknya dari Jalan Ipoh ke Yadimart untuk menerima bantuan barang keperluan makanan dan wang tunai kesemuanya berjumlah RM550 sempena Jualan Rakyat Keluarga Malaysia anjuran Yadim di sini, pada 1 Oktober.

Menurutnya, dengan bantuan ini dapat meringankan beban selain menerima bantuan bulanan orang kurang upaya (OKU) anaknya dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya ditinggalkan suami sejak Oktober 2021 dan membesarkan anak perempuan Nur Ainul Zahirah Rashidi yang masalah penglihatan kekal sejak lahir.

“Saya terpaksa tanggung risiko membawa bersama anak kerana bimbang berhadapan dengan penderaan sekiranya ditinggalkan dengan orang lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Azimah berkata, sebelum ini dia bekerja di kedai dobi dan selepas kedai itu ditutup dia bekerja sebagai penghantar makanan untuk menyara kehidupan.

Menurutnya, ketika ini dia menyewa rumah di Jalan Ipoh dan kos bulanannya agak tinggi dan berharap ada pihak yang bertanggungjawab dapat membantu mendapatkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pendapatan bulanan sekitar RM1,000 kerana waktu bekerja sangat terhad iaitu bermula 9 pagi hingga 6 petang kerana selebihnya digunakan untuk mengurus anak.

“Pendapatan selepas ditolak sewa rumah, bil uliti, kos lampin pakai buang dan membeli barang keperluan makanan kadangkala sampai tidak berbaki dan pernah terputus sumber.

“Anak saya tidak boleh tinggal dengan orang lain kerana dia juga hyperaktif dan risau orang lain tidak boleh sabar untuk menjaganya, “katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, berkata Program Jualan Rakyat Keluarga Malaysia yang diadakan hari ini bertujuan menyahut seruan kerajaan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan secara murah yang ditawarkan menerusi diskaun sehingga 50 peratus melalui barangan terpilih.

Katanya, selain Azimah pihaknya turut menyantuni 50 keluarga yang mendaftar melalui bantuan Yadim semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mendapatkan barang keperluan secara percuma yang dihantar terus ke kediaman mereka oleh pekerja syarikat penghantaran.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *