Home » Langit Terbuka » Isu kaum, agama tiada masalah di Sabah: KM

Isu kaum, agama tiada masalah di Sabah: KM

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman. Foto : Sabahkini2

PAPAR: Kerajaan negeri hari ini membidas tindakan pembangkang yang cuba mengapi-apikan isu perkauman untuk menarik sokongan rakyat di Sabah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata tindakan itu tidak boleh diterima dan harus dihentikan kerana ia bukan budaya atau amalan masyarakat negeri ini yang sememangnya terkenal dengan toleransi kaum dan agama yang tinggi.

“Kita jangan bercakap pasal suku-suku (kaum), sebaliknya kita hormati setiap suku. Sabah memang sudah terkenal dengan perpaduan dan diiktiraf oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai contoh terbaik 1Malaysia.

“Isu kaum dan agama tiada masalah di Sabah, tiada suku yang diabaikan sebaliknya kita menghormati setiap kaum, budaya dan kesenian masing-masing,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Gambus Ke-18 peringkat negeri, anjuran Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS), di sini, hari ini.

Yang turut hadir isteri Musa, Puan Sri Faridah Tussin; Presiden PMBS yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Arif; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Datuk Abdul Rahim Ismail.

Sebelum ini, pelbagai pihak membidas Parti Warisan Sabah (WARISAN) kerana pemimpinnya membuat laporan isu perkauman tidak berasas mengenai ungkapan Sabah tulen yang digunakan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam ucapannya, baru-baru ini.

Musa berkata, kerajaan sentiasa menghormati setiap suku kaum yang ada di negeri ini dan menyokong perayaan atau pesta yang diadakan sebagai satu pendekatan untuk memelihara budaya serta kesenian masing-masing.

“Di Sabah kita pelbagai suku dan agama tapi kita dapat hidup bersama disebabkan oleh semangat kekitaan yang tinggi. Hasilnya rakyat negeri ini dapat hidup aman dan harmoni,” katanya.

Sementara itu, katanya pendekatan diambil persatuan etnik seperti PMBS untuk mempromosi budaya dan kesenian etnik masing-masing bukan saja dapat memelihara khazanah budaya, malah meningkatkan lagi rasa hormat masyarakat lain terhadap amalan budaya setiap kaum.

Beliau berkata, berdasarkan kesedaran itu, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usaha setiap persatuan menganjurkan pesta berkaitan kebudayaan dan kesenian yang diwarisi daripada nenek moyang masing-masing.

Pesta Gambus yang menjadi acara tahunan anjuran PMBS adalah sambutan kesenian yang memaparkan keunikan permainan gambus diwarisi masyarakat Brunei negeri ini yang kebanyakannya menghuni kawasan pantai barat seperti di daerah ini. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *