Home » Langit Terbuka » Jais anjur Pesta Tanglung di Pulau Ketam

Jais anjur Pesta Tanglung di Pulau Ketam

Kira-kira 200 penduduk Pulau Ketam menyertai pesta itu yang turut dianjurkan bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia dan Persatuan Penduduk Pulau Ketam - Sinar Harian

PELABUHAN KLANG – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mempunyai cara tersendiri untuk berdakwah, antaranya menerusi penganjuran Pesta Tanglung di Pulau Ketam di sini, baru-baru ini.

Kira-kira 200 penduduk pulau itu yang majoritinya kaum Cina menyertai pesta itu yang turut dianjurkan bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Persatuan Penduduk Pulau Ketam (PPPK).

Penolong Pengarah Kanan Jais, Muhammad Sujak Dasuki berkata, penganjuran Pesta Tanglung itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan dan perpaduan antara kaum di kawasan tersebut, selain merupakan salah satu usaha untuk memberi pendedahan mengenai keunikan tradisi serta budaya masyarakat Cina.

“Saya amat menghargai penglibatan penduduk tidak kira peringkat umur yang menyertai perarakan di sekitar kawasan penempatan Pulau Ketam dengan membawa tanglung yang disediakan sambil membawa mesej perpaduan.

“Pesta ini tiada kaitan dengan sebarang unsur keagamaan, secara tidak langsung ia boleh disambut pelbagai bangsa serta membawa mesej unik bahawa masyarakat di Malaysia boleh hidup secara harmoni dan damai,” katanya yang ditemui pemberita selepas menyertai Pesta Tanglung itu.

Menurut Muhammad Sujak, lokasi Pulau Ketam dipilih kerana majoriti penduduk di kawasan penempatan itu berbangsa Cina dan justeru, ia amat sesuai untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai agama Islam.

Katanya lagi, Jais mahu masyarakat Cina di Pulau Ketam memahami bahawa Islam itu indah serta sesuai dianuti oleh pelbagai bangsa yang ada di negara ini.

Naib Pengerusi II Perkim, Hushim Salleh pula berkata, program bertemakan ‘Dakwah Jalanan’ itu merupakan kali pertama diadakan bersama komuniti Cina.

“Masyarakat di sini menyambut baik kedatangan kami dan ini adalah petanda bagus. Kami juga mengedarkan risalah tentang Islam serta memberi peluang untuk mereka merasai bagaimana memakai tudung serta memberikannya secara percuma.

“Kami juga cuba untuk mengubah persepsi mereka yang menganggap Islam ini ganas serta tidak boleh menerima orang luar, dan apabila mereka melihat kami berkopiah sambal membawa tanglung di sekitar kawasan ini mungkin tanggapan mereka akan berubah,” katanya yang turut berterima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) atas suntikan dana untuk penganjuran program dakwah itu.

Antara pengisian program dalam pesta berkenaan adalah pertandingan tanglung, memanah, perarakan tanglung, cabutan bertuah dan persembahan nasyid serta qasidah daripada pelajar Akademi Tahfiz Mandarin Pulau Ketam. – Bernama

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *