Home » Citra Yadim » Jamin fungsi YADIM tetap terlaksana

Jamin fungsi YADIM tetap terlaksana

Nik Omar (tengah) dan Sheikh Omar (kanan) ketika bersiaran secara siaran langsung dalam rancangan Analisis di TV Al Hijrah.

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz memberi jaminan fungsi utama organisasi ini iaitu berdakwah akan tetap terlaksana.

Menurut beliau, disebalik pelbagai dakwaan ke atas organisasi ini, terutamanya dalam perlantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA), pihaknya tetap positif teras utama gerak kerja iaitu berdakwah, pendidikan, kebajikan dan menyelaras badan bukan kerajaan (NGO) Islam akan tetap dapat diteruskan.

“Kita ambil positif setiap teguran dan kritikan yang diterima, dan hargai pelbagai pandangan. Jika dilihat, di negara ini pun ada negeri negeri yang diperintah pihak pembangkang. Kita kena beri peluang pada barisan ALPA, mereka baharu lapan hari dilantik.

“Saya secara peribadi akan usaha hingga dapat gerakkan dakwah YADIM ke persada dunia,” tegasnya semasa di wawancara dalam rancangan Analisis di TV Al Hijrah hari ini (8 Februari 2019).

Turut diwawancara bersama beliau ialah salah seorang daripada ALPA yang baharu dilantik, Yang Berhormat Sheikh Omar Ali. Keduanya secara langsung selama sejam membicara dan menjelaskan halatuju YADIM dalam kerangka Malaysia Baharu.

Bagi Nik Omar tidak timbul isu perlantikan atas kapasiti politik semata mata, kerana telah dijelaskan sebelum ini, ianya adalah berdasarkan merit, kepakaran dan pengalaman.

“Ahli politik juga ada kepakaran dalam pelbagai bidang, dan saya lihat dari satu sudut ia beri peluang kepada YADIM, orang mula kenal badan ini.

“Yang jadi masalah bukanlah lantikan dari politik, tetapi apabila politik menguasai agensi, InsyaAllah ini tidak akan berlaku di YADIM. Kita sudah buat sesi taaruf, dan dapat lihat keserasian dalam barisan ALPA,” ujarnya.

Tambah beliau, lantikan ALPA yang baharu membawa kelebihan dari pelbagai sudut. Katanya, ia mewakili kedua jantina, generasi muda dan yang berpengalaman, kepakaran dari beberapa bidang seperti aktivis sosial, pendidikan dan sebagainya.

Kesemua itu menurutnya, amat sesuai bagi sebuah agensi agama seperti YADIM dalam mendepani cabaran dakwah yang pelbagai.

Sementara itu, Sheikh Omar pula berpandangan, apa yang dihadapi oleh YADIM ketika ini tidak lain ialah cabaran dan tribulasi dalam berdakwah.

“Sejarah sudah mencatatkan, setiap kali ada usaha untuk laksana kebaikan, pasti ada mehnah dan kecaman. Justeru saya berpandangan, apa yang ALPA baharu dan YADIM perlu laksanakan sekarang ialah bekerja keras dan membuktikan semua dakwaan yang dihadapi adalah tidak berasas.

Mewakili generasi muda, Sheikh Omar berpendapat YADIM sudah pun memiliki produk yang hebat untuk menarik golongan berkenaan.

“Semasa mula mula dilantik saya ada buat kajian, YADIM umpamanya memiliki lebih 16,000 ahli Sahabat YADIM di universiti, selain sudah ada lapan sesi pengambilan Felow Muda Dakwah dengan kira kira 200 orang peserta.

“Semua ini bagus, mungkin boleh ditambah baik dan diteruskan selepas ini,” kata beliau.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *