Home » Langit Terbuka » KASIH, hospital swasta pertama ejen zakat bertauliah

KASIH, hospital swasta pertama ejen zakat bertauliah

Menurut Pengarah Eksekutif KASIH, Dr. Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, pelantikan sebagai ejen bertauliah zakat itu melakar sejarah negara apabila julung kali kerajaan memberi kepercayaan kepada syarikat swasta untuk membantu golongan memerlukan. - Foto PPZ MAIWP

KUALA LUMPUR – Sebuah hospital berkonsepkan zakat, infak dan endowmen, Kasih Holding Sdn Bhd (KASIH) dipilih Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWP) sebagai ejen bertauliah menerima zakat bagi tujuan perubatan.

Menurut Pengarah Eksekutif KASIH, Dr. Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, pelantikan itu melakar sejarah negara apabila julung kali kerajaan memberi kepercayaan kepada syarikat swasta untuk membantu golongan memerlukan.

Mohd Zaqrul berkata, kerjasama rasmi antara KASIH dan PPZ-MAIWP berdasarkan agenda utama hospital itu untuk mewujudkan National KASIH Hospital Program (NKHP) untuk menjadi agenda nasional.

“Dasar ini juga turut mendapat restu daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan penubuhan HKHP ini bermatlamat menjadikan sebuah hospital swasta yang mampu biaya dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, antara perkhidmatan ditawarkan adalah Pakar Pediatrik, Pakar Obestetrik & Ginekologi, Pakar Ortopedik, Pakar Telinga, Hidung & Tekak (ENT), Pakar Perubatan Dalaman (Physician), Pakar Rawatan Luka (Kencing Manis), Pakar Pergigian, Pakar Bedah dan Pakar Kardiologi.

Katanya, NKHP adalah inisiatif swasta, tetapi bukan bersifat individualistik kerana ia melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak.

Beliau menjelaskan, antara badan yang terlibat dalam usahasama itu ialah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Pusat Zakat dan Baitulmal, Perbadanan Wakaf Nasional Berhad (PWNB), Yayasan Wakaf Malaysia, JAWHAR, organisasi atau badan bukan kerajaan yang bergerak atas konsep wakaf, institusi kewangan dan lain-lain lagi.

Ujarnya, di bawah perancangan NKHP, sedang dalam fasa terakhir menubuhkan projek pilot berkonsep kluster berskala kecil di Presint 8, Putrajaya dan Cyberjaya.

“Ia adalah Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak KASIH Putrajaya dengan kapasiti 32 katil serta Klinik Pakar Berpusat Cyberjaya dengan kerjasama 25 doktor pakar.

“Kerjasama PPZ-MAIWP ini adalah permulaan pelaksanaan dan pengenalan NKHP yang berperanan sebagai ejen tunggal yang bukan agensi dalam pengurusan zakat di Wilayah Persekutuan.

“NKHP akan dikembangkan kepada negeri lain yang berpotensi dengan struktur kerjasama yang sama,” ujarnya.

Semalam, kata Dr. Mohd Zaqrul Razmal, dua tabung telah dilancarkan di bawah NKHP iaitu Tabung Kesihatan KASIH dan Tabung Asnaf KASIH, di mana orang ramai boleh terus menyalurkan zakat mereka tanpa melalui PPZ-MAIWP.

Katanya, Tabung Kesihatan Kasih turut menerima sumbangan orang ramai secara tunai, selain daripada zakat untuk membiayai golongan kurang berkemampuan dan memerlukan.

Manakala Tabung Asnaf Kasih pula, sebahagian daripada kutipan zakat akan dikira sebagai wakalah dan akan disalurkan kepada tabung itu sebagai dana bagi membantu golongan asnaf.

Katanya, sumbangan boleh dibuat secara online dengan melayari www.tabungkasih.com (Klik Infak / Endowment atau Zakat) atau melalui cek diatas nama KASIH Holding Sdn Bhd atau melalui akaun RHB Bank 266016000189 00 dan Bank Islam 16027010001917. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *