Home » Langit Terbuka » Kerajaan mahu Program TUBE diperluas kepada asnaf

Kerajaan mahu Program TUBE diperluas kepada asnaf

Kerajaan menyarankan agar SME Corp bekerjasama dengan majlis agama Islam di setiap negeri bagi mengenal pasti asnaf berpotensi menyertai TUBE. - Foto TUBE

SINTOK – Kerajaan berharap SME Corporation Malaysia (SME Corp) dapat memperluaskan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kepada para asnaf bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan ahli perniagaan, sekaligus menambah baik kualiti hidup golongan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata langkah itu juga adalah sebagai usaha untuk mentranformasikan golongan asnaf daripada status penerima zakat kepada pembayar zakat.

Beliau berkata untuk merealisasikan hasrat itu, kerajaan menyarankan agar pihak SME Corp bekerjasama dengan majlis agama Islam di setiap negeri bagi mengenal pasti golongan asnaf yang berpotensi.

“Buat masa ini (sudah ada) program yang dinamakan Program Tunas Usahawan Baitulmal (PTUB), yang merupakan jalinan kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ( MAIWP) dan SME Corp, melibatkan 100 orang peserta.

“Majlis agama islam negeri lain pun dah maklum mengenai program ini dan saya berharap supaya majlis-majlis agama negeri atau pihak zakat negeri akan ambil ini sebagai satu kaedah untuk membantu asnaf dan melahirkan usahawan berjaya,” katanya pada Majlis Pembukaan TUBE 6.0 yang melibatkan penyertaan seramai 95 orang peserta zon Utara di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni Budaya Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Noor Azmi Mat Said.

Dr Mohd Hatta berkata untuk tahun ini, menerusi TUBE seramai 556 calon belia termasuk 29 peserta orang kelainan upaya (OKU) menjalani latihan di lima pusat latihan dan kem di seluruh negara selama tiga minggu bermula pada 3 Nov lepas.

Katanya kesemua peserta akan melalui tiga fasa bagi mempersiapkan diri sebelum memulakan perniagaan agar memiliki daya tahan dari segi mental dan fizikal.

Menurutnya peserta didedahkan dengan landskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar dan selepas tamat latihan peserta dipantau dan dibimbing selama 12 bulan menerusi sistem ‘buddy’ oleh kaunselor perniagaan SME Corp.

TUBE yang dilancarkan sejak dua tahun lepas mendapat sokongan lebih 30 rakan strategik di peringkat persekutuan dan negeri antaranya Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, SME Bank, Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pertahanan Malaysia.- Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *