Home » Langit Terbuka » Kerajaan Pusat tiada hak campuri hukuman syariah negeri

Kerajaan Pusat tiada hak campuri hukuman syariah negeri

Pengerusi UMMAH berkata, masyarakat terutama umat Islam tidak sewajarnya mengingkari atau memperlekehkan kedudukan perundangan syariah dalam sistem keperlembagaan sedia ada, tetapi membantu memantapkannya

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa semua pihak agar lebih memfokuskan usaha ke arah pemantapan sistem keadilan syariah di Malaysia bagi memperkukuh serta memperbaiki sebarang kekurangan sekiranya ada.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, masyarakat terutama umat Islam tidak sewajarnya mengingkari atau memperlekehkan kedudukan perundangan syariah dalam sistem keperlembagaan sedia ada, tetapi membantu memantapkannya.

“Berasaskan kepada perbincangan ilmiah yang mencakupi aspek teori dan praktikal dalam forum hari ini, adalah jelas bahawa bidang kuasa negeri untuk melaksanakan hukuman syariah termaktub dalam Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa negeri-negeri mengenai hal ehwal agama Islam yang termasuk di dalamnya kuasa untuk ‘pewujudan dan penghukuman kesalahan orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu’.

“Kerajaan di peringkat Persekutuan tidak berhak mencampuri atau mempersoalkan perkara ini kerana ia adalah kedaulatan negeri-negeri. Bidang kuasa dan kedaulatan negeri-negeri ini telah berakar umbi sejak sebelum merdeka lagi dan bahkan diakui oleh hakim-hakim British seperti dalam kes Ramah Ta’at v. Laton binte Malim Suran (1927).

Beliau berkata demikian pada Forum Hukuman Syariah: Keadilan atau Kezaliman di sini.

Aminuddin berkata, mahkamah ketika itu memutuskan bahawa undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing, sebaliknya adalah undang-undang asal yang wujud dan diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang menetapkan bahawa sesuatu keputusan daripada mahkamah hanya boleh dicabar dengan rayuan atau proses-proses lain yang diperuntukkan dalam aturan-aturan mahkamah.

“Dalam kes dia wanita di Terengganu, mereka yang disabitkan kesalahan tersebut telah diberi ruang seluas-luasnya untuk merayu tetapi telah memilih untuk tidak merayu.

“Justeru, sabitan dan hukuman dari mahkamah yang dijatuhkan kekal dan mesti dilaksanakan kerana jika tidak, ia akan menjadi satu bentuk keingkaran kepada perintah mahkamah,” katanya.

Aminuddin berkata, sebarang cubaan, usaha atau tentangan terhadap pelaksanaan perintah dan hukuman yang diputuskan dan dijatuhkan secara sah oleh mana-mana mahkamah, baik sivil atau syariah, adalah bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa.

“Ia juga adalah kesalahan mengikut Seksyen 186, 187 dan 188 Kanun Keseksaan (Akra 574) kerana menghalang dan berusaha untuk mengingkari perintah yang telah diisyithar secara sah, dan boleh dikenakan hukuman penjara,” tegasnya.- Ismaweb

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *