Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, malah, ada antara tindakan itu dibuat di luar daripada janji.

Antaranya, kata beliau, ialah menaikkan elaun bilal daripada RM200 kepada RM500, elaun siak daripada RM200 kepada RM450 dan elaun pembantu am wanita daripada RM150 kepada RM400 melibatkan peruntukan sebanyak RM2.84 juta.

“Elaun guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) juga telah dinaikkan daripada RM900 sebulan menjadi RM950 sebulan untuk 1,500 guru yang membabitkan peruntukkan RM1.15 juta.

“Ini dilakukan oleh kerajaan negeri. Tidak seperti tuduhan kononnya kerajaan tidak membela kepentingan orang Melayu dan umat Islam,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian sumbangan sempena Ramadan untuk masjid dan surau dalam Parlimen Seremban di sini.

Sebanyak 19 masjid dan 90 surau dalam kawasan Parlimen Seremban telah menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook bagi menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini.

Setiap masjid menerima RM3,000 dan RM1,000 untuk setiap surau.

Yang turut hadir, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Seremban.

Aminuddin turut menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri hanya mengutamakan bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan (SJK) semata-mata.

“Ramai yang membuat bising kerana SJK Chung Hwa dapat RM200,000 tetapi sebenarnya sebanyak 70 institusi tahfiz akan dapat sumbangan tidak lama lagi daripada sejumlah RM3 juta yang diluluskan oleh kerajaan negeri untuk pusat tahfiz swasta, SJK Cina, SJK Tamil dan sekolah swasta,” katanya. – Utusan Malaysia.