Home » Langit Terbuka » Ketua Kristian tolak Trump

Ketua Kristian tolak Trump

Pengiktirafan Baitulmuqaddis dianggap berbahaya, satu penghinaan

BAITULMUQADDIS 25 Dis. – Beberapa pemimpin Kristian Palestin tidak menyokong keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Mereka menyifatkan tindakan Trump sebagai ‘berbahaya’ dan satu ‘penghinaan’, lapor Al-Jazeera.

Ketua paderi gereja Greek Ortodoks di Baitulmuqaddis, Atallah Hanna semalam berkata, pe­ngumuman Trump itu umpama satu ‘serangan’ terhadap umat Islam dan penganut Kristian seluruh dunia yang menyifatkan Baitulmuqaddis sebagai ‘sebuah inkubator paling suci, spiritual dan warisan nasional’ ketika ini.

“Kami, warga Palestin, penganut Kristian dan umat Islam menolak pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Mereka (AS) cuba menguasai sesuatu yang bukan hak mereka,” katanya ketika menghadiri sam­butan Krismas di sini.

Seorang anggota majlis tempatan di Baitulaham, Maher Canavati pula memberitahu, sebagai rakyat Palestin, mereka hanya mahukan keamanan meskipun terpaksa berkongsi Baitulmuqaddis dengan penduduk Israel.

Pada masa yang sama katanya, mereka juga mahu diberikan kebebasan untuk keluar masuk ke bandar itu sebagai rakyat Palestin.

“Ramai yang kini khuatir akan tahap keselamatan di kawasan itu (Baitulmuqaddis) selepas pengumuman Trump tempoh hari.

“Selain itu, ramai juga yang tidak lagi menjejakkan kaki ke Baitulaham, sebaliknya terus berada di Baitulmuqaddis dan bahagian utara negara ini (Palestin),” ujar Canavati.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Guatemala mengumumkan bahawa mereka bersedia mengikut jejak langkah AS de­ngan memindahkan kedutaan di Tel Aviv ke Baitulmuqaddis tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan Presidennya, Jimmy Morales menerusi satu status yang dimuat naik ke dalam laman Facebook beliau hari ini.

Difahamkan, Morales membuat pengumuman kontroversi itu selepas berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

AS sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk memindahkan kedutaan mereka di Tel Aviv ke Baitulmuqaddis selepas Trump mengumumkan bandar tersebut sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu. – AGENSI, UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *