Home » Langit Terbuka » Krisis semakin memburuk, rakyat Palestin, Syria perlukan bantuan

Krisis semakin memburuk, rakyat Palestin, Syria perlukan bantuan

Krisis yang semakin meruncing di Syiria dan Palestin memerlukan bantuan segera rakyat Malaysia, gesa MAPIM. - Foto abc.net.au

PULAU PINANG – Rakyat di negara ini diseru melihat krisis akibat peperangan di Palestin dan Syria sebagai isu kemanusiaan yang melangkaui agama sekali gus memerlukan sokongan setiap lapisan masyarakat.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, sokongan itu lebih ditagih kini iaitu ketika rakyat di kedua-dua negara tersebut terpaksa menjalani ibadah puasa dalam keadaan krisis yang semakin memburuk.

Menurutnya, berdasarkan laporan wakil Mapim, situasi di Tebing Barat, Palestin misalnya semakin parah apabila tentera zionis Israel bertindak kejam dengan merampas tanah dan menghalau penduduk selain tidak membenarkan mereka beribadah di masjid.

Di Gaza dan Masjid Al-Aqsa pula, katanya, walaupun keadaan ketika ini sedikit tenang, namun umat Islam di sana terus dihimpit kebimbangan dan ketakutan boleh diserang tentera zionis Israel pada bila-bila masa.

“Di Aleppo, Syria pula, krisis kemanusiaan juga semakin meruncing dalam kalangan penduduk yang terpaksa tinggal di kem-kem pelarian dengan bantuan antarabangsa yang terhad,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMMPP) di Masjid Kapitan Keling, di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, Mohd. Azmi turut mewakili Mapim menerima sumbangan sebanyak RM5,000 daripada DPMMPP bagi disalurkan kepada rakyat Palestin dan Syria.

Menurut beliau, ketika ini, Mapim mempunyai wakil masing-masing di Tebing Barat; Gaza dan Aleppo yang bergerak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dalam memantau situasi kemanusiaan penduduk di sana.

Katanya, di Aleppo misalnya, wakil Mapim ketika ini sedang berusaha mewujudkan menyalurkan bantuan kepada sekurang-kurangnya 50,000 penduduk yang terjejas di kem pelarian.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya berharap sumbangan daripada orang ramai supaya matlamat membantu seramai mungkin rakyat kedua-dua negara khususnya sepanjang Ramadan ini tercapai.

“Kita mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan namun sumbangan dana atau wang ringgit adalah lebih mudah kerana kita boleh menyalurkan terus kepada wakil di kedua-dua negara untuk membeli kelengkapan yang dirasakan sesuai di sana.

“Kita juga mengharapkan umat Islam khususnya mengambil keberkatan bulan Ramadan ini untuk terus berdoa supaya krisis di kedua-dua negara berkenaan tidak terus berpanjangan,” katanya.

Mereka yang mahu menyumbang bagi meringankan beban rakyat Palestin dan Syria boleh berbuat demikian menerusi Tabung Gaza Mapim ke akaun Maybank Islamic di nombor 5582 2060 1374 atau Bank Islam (0801 3010 0758 20).

Sumbangan juga boleh disalurkan ke Tabung Kecemasan Syria di nombor akaun 5628 3463 6987 (Maybank) atau menghubungi pejabat pertubuhan itu di talian 03-89126298 untuk maklumat lanjut. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *