Home » Langit Terbuka » KUIM mahu lahir pendakwah muda

KUIM mahu lahir pendakwah muda

Naib Canselor KUIM, Prof berkata, kerjasama dengan pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia banyak membantu pelajar kolej universiti itu yang juga ahli Sahabat YADIM melalui pentarbiahan berlandaskan pegangan al-Quran dan sunnah

ALOR GAJAH – Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) berhasrat melahirkan pelapis pendakwah muda yang lebih berketrampilan dan holistik dalam menyampaikan dakwah Islam melalui kerjasama dengan institut pentadbiran Islam di negara ini.

Naib Canselor KUIM, Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora, berkata kerjasama dengan pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) banyak membantu pelajar kolej universiti itu yang juga ahli Sahabat YADIM melalui pentarbiahan berlandaskan pegangan al-Quran dan sunnah.

“Kerjasama dengan YADIM seperti mengadakan konvensyen boleh mengetengahkan tokoh pelajar daripada KUIM menjadi pendakwah, bukan hanya berlatarbelakangkan agama tetapi pelbagai ilmu, berketrampilan dan holistik.

“Ia sekali gus dapat memilih mereka sebagai antara peserta Pencetus Ummah (PU) yang layak ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada NSTP selepas menghadiri majlis Konvensyen Kebangsaan Sahabat YADIM 2018 yang dirasmikan oleh Canselor KUIM, Datuk Dr Hasan Bahrom di Auditorium Ibnu Khaldun KUIM di Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Operasi YADIM, Mohd Khairrul Fuad Samsudin dan Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM, Sabir Abdul Ghani.

Lebih 600 Sahabat YADIM daripada 30 institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara menyertai konvensyen anjuran Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA), YADIM dan KUIM itu.

Di KUIM, terdapat 400 Sahabat YADIM bergerak aktif di kolej universiti berkenaan.

Sementara itu, Sabir berkata, YADIM kini fokus untuk melahirkan lebih ramai kader Islam atau pelapis kepemimpinan yang lebih bersifat terbuka berlandaskan pegangan al-Quran dan sunnah.

“Jika kita hanya fokus kepada satu isu (peranan), maka kita akan tertumpu itu sahaja dan kini kita berusaha melahirkan kader Islam.

“Ahli Sahabat YADIM kini seramai 16,000 di seluruh negara dan mereka juga alumni. Selepas alumni, ada antara mereka menyertai Felo Muda Dakwah (produk YADIM) dan dari situlah lahirnya PU Amin dan PU Raihan,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *