KUANTAN – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Pahang terus menyemarakkan usaha menyantuni masyarakat menerusi penganjuran program YADIM Sejahtera: Ceramah Program Dakwah Negara – Kuliah Dhuha di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuantan, di sini, baru-baru ini.
Sesi kuliah selama sejam bermula jam 9.30 pagi itu menampilkan penceramah jemputan, Ustaz Syed Jaafar Sadeq Alkaff Syed Mohssin, yang mengupas tajuk “Ilmu Dipandu Wahyu, Pemikiran Disuluh Adab”.
Dalam pengisiannya, beliau menekankan kepentingan menjadikan wahyu sebagai panduan utama dalam proses menuntut serta mengamalkan ilmu dalam kehidupan seharian.
Beliau turut mengingatkan para hadirin agar sentiasa mengutamakan adab, akhlak mulia, dan pemantapan keimanan seiring dengan penguasaan ilmu pengetahuan.
Program yang diadakan bersempena Program Dakwah Negara 2026 ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan YADIM Negeri Pahang dalam memperluas jaringan dakwah lapangan melalui penyampaian ilmu serta kefahaman Islam yang menyeluruh kepada komuniti setempat.



KOMEN