Home » Langit Terbuka » Mahkamah Syariah Perak laksana e-payment

Mahkamah Syariah Perak laksana e-payment

Kerjasama e payment ini menyediakan perkhidmatan secara atas talian menerusi JomPay, SnapNpay dan mesin kad kredit kepada pengguna. - Foto MSP


IPOH – Mahkamah Syariah Negeri Perak menjadi yang pertama dalam negara melaksanakan kaedah pembayaran secara elektronik (e-Payment), sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan di mahkamah berkenaan.

Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Asa’ari Mohd Yazid berkata, inisiatif dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad itu merangkumi pelbagai kategori termasuk pendaftaran kes dan pembayaran denda dan akan berkuatkuasa 1 Julai ini.

“Kaedah ini dapat memudahkan pembayaran orang ramai, mengurangkan pembayaran secara tunai dan sekali gus memudahkan kakitangan syariah menguruskan kewangan.

“Kalau di Mahkamah Syariah, dalam kes jenayah antaranya khalwat, judi, minum arak dan sebagainya apabila seseorang itu dijatuhkan hukuman oleh mahkamah antara hukuman lain adalah denda. Jadi, denda itu mereka boleh membayarnya secara e-Payment,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran ePayment Jabatan Kehakiman Syariah Perak-Bank Islam Malaysia Berhad di Dewan Bankuet Mahkamah Syariah Perak di sini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Noor Jab.

Asa’ari berkata, kaedah pembayaran secara tunai masih ada tetapi pembayaran secara elektronik menjadi satu lagi pilihan untuk memudahkan pembayaran.

“Kita memang menggalakkan orang ramai menggunakan e-Payment untuk mengurangkan pembayaran secara tunai,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat sembilan Mahkamah Syariah yang berada di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Mohd Noor berkata, kerjasama ini menyediakan perkhidmatan secara atas talian menerusi JomPay, SnapNpay dan mesin kad kredit kepada pengguna.

“Kaedah ini bersesuaian dengan situasi semasa wabak Covid-19 yang menyebabkan orang ramai mula beralih kepada pembayaran secara elektronik,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *