Home » Langit Terbuka » MAIS serius tangani fahaman liberal

MAIS serius tangani fahaman liberal

Klang – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memandang serius dan mengutamakan isu berkaitan akidah umat Islam termasuk ancaman gerakan liberal di Selangor.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, dalam usaha menangani penyebaran fahaman dan ajaran menyeleweng daripada Islam, MAIS bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMS) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor (JPSS).

“Fatwa diwartakan pada 31 Julai 2014 berhubung Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama menyatakan bahawa mana-mana individu, pertubuhan atau institusi berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Bagi memberi kefahaman dan penjelasan kepada masyarakat awam berhubung fahaman liberalisme dan implikasi pembabitan seseorang dalam ajaran fahaman itu, MAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor melaksanakan program penerangan secara berterusan berkaitan fatwa itu kepada pelajar sekolah, kakitangan kerajaan dan orang awam.

“MAIS melalui JAIS sentiasa komited dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam di Selangor melalui pelbagai program dakwah tersusun dan terancang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar mendakwa jabatan agama Islam negeri berpeluk tubuh serta makan gaji buta, malah menyifatkan dakwaan itu tidak tepat.

Mohammed Khusrin berkata, pada 2014 hingga 2019, JAIS melaksanakan 582 aktiviti membabitkan sesi penjelasan, seminar, konvensyen dan pemantauan bagi memastikan fahaman liberalisme termasuk ajaran sesat agar dapat ditangani sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, tindakan dan pemantauan berterusan melalui media sosial diambil bagi membendung penyebaran fahaman liberalisme itu.

“MAIS turut menerbitkan beberapa buku berkaitan kesedaran akidah untuk rujukan orang ramai, malah MAIS melalui JAIS sentiasa proaktif melaksanakan aktiviti pemantauan, risikan dan siasatan secara berterusan termasuk kerjasama orang awam ke atas fahaman yang disyaki kembali aktif.

“MAIS menasihati semua umat Islam dalam Negeri Selangor supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan kepercayaan fahaman yang difatwakan sesat.

“Ini kerana fatwa terbabit mengikat semua orang Islam dalam negeri Selangor untuk mematuhi fatwa itu,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi fatwa boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

Katanya, umat Islam dinasihati agar menghubungi talian hotline penguatkuasaan JAIS untuk sebarang aduan atau maklumat berhubung fahaman liberalisme di Selangor di talian 1-800-88-2424. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *