Home » Langit Terbuka » Mat Sabu gesa dunia bentuk rangkaian siber lawan ‘khalifah maya’

Mat Sabu gesa dunia bentuk rangkaian siber lawan ‘khalifah maya’

Menteri Pertahanan berkata, kemajuan teknologi dan penggunaan internet secara meluas menyumbang kepada suatu ancaman bentuk baru. - Foto Malay Mail

PETALING JAYA – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menggesa kerajaan serata dunia bersama mewujudkan suatu rangkaian pertahanan siber bagi melawan “khalifah maya”, atau perkumpulan pengganas yang bergerak di ruang siber dan menggugat keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Dalam ucapannya di Moscow, Rusia sempena Persidangan Keselamatan Antarabangsa Moscow ke-8, Mohamad mengingatkan hadirin bahawa pengganas yang melarikan diri dari medan perang di Timur Tengah ke banyak negara adalah sangat berpengalaman dalam operasi, sangat terlatih dalam pertempuran dan mempunyai rangkaian yang luas.

“Malangnya, ruang siber yang kita sangat bergantung untuk saling berhubung juga membolehkan khalifah bentuk maya bertahan menerusi bahasa kebencian. Ruang siber akan terus menjadi akses penting bagi kawal dan perintah IS kerana ia menyediakan kemudahan akses dan sambungan terus kepada pesimpatinya dan jihadis media,” katanya.

Mohamad berkata kemajuan teknologi dan penggunaan internet secara meluas menyumbang kepada suatu ancaman bentuk baru.

“Sekarang siapa sahaja, di mana sahaja, dengan alat peranti seperti telefon pintar dan akses internet, boleh melancarkan serangan terhadap mana-mana sasaran di dunia. Ruang siber menjadi medan pertempuran baru untuk kita dalam memerangi pengganas,” katanya.

Beliau menambah, serangan siber sangat rumit untuk ditangani, dan memerlukan doktrin yang sama sekali baru bagi melawannya secara berkesan.

“Kita sekarang ini sedang melawan naratif pengganas menerusi media sosial. Kita berdepan pelampau-pelampau yang suka bersendirian,” katanya.

Memandangkan kerumitan berperang di ruang siber, katanya, setiap kerajaan perlu meningkatkan kebolehan pertahanan siber dan bekerjasama dengan negara lain “untuk membentuk suatu rangkaian dalam persekitaran tanpa sempadan”.

“Dengan mempunyai lebih banyak kerjasama dalam pertahanan siber, kita dapat memastikan kedaulatan kita dalam ruang yang sangat luas itu, dan dikongsi oleh banyak pihak,” katanya.

Bagi melawan naratif pelampau, Malaysia menubuhkan Counter Messaging Centre (CMC) bawah polis dan Cyber Defence Operation Centre (CDOC) bawah tentera, bagi memantau penyebaran fahaman, naratif dan retorik kumpulan pengganas di internet, dan menangani kemelaratan ancaman keselamatan bukan tradisional itu.

Pada Februari, pihak berkuasa mengusir 6 warga Mesir dan 1 warga Tunisia yang disyaki militan. Mereka antara 9 individu yang ditangkap di Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak selepas menerima maklumat daripada pelbagai agensi perisikan.

Pada Mac, pihak berkuasa menangkap 13 orang, termasuk 12 warga Filipina, di Sabah kerana disyaki menjadi anggota kumpulan pengganas dan melindungi pengganas yang bersembunyi. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *