Home » Langit Terbuka » Orang gagal kawal nafsu tak mungkin berjaya

Orang gagal kawal nafsu tak mungkin berjaya

Perdana Menteri mengingatkan usaha melawan nafsu tidak seharusnya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja, tetapi perlu dilakukan pada bulan-bulan lain. - Foto Kosmo

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pihak yang gagal melawan nafsu akan tergolong dalam kalangan mereka lemah dan tidak berjaya.

Mahathir berkata, tidak dinafikan hawa nafsu sememangnya akan mendorong manusia melakukan perkara dilarang dalam agama dan ditentang masyarakat seperti menerima rasuah.

“Rasuah itu tidak baik tetapi jika tidak melawan nafsu apabila dihulur rasuah, dengan itu kita jadi manusia lemah. Orang lemah tidak mungkin berjaya kerana hanya orang yang kuat sahaja yang berjaya.

“Bulan Ramadan ini adalah bulan untuk melatih diri mengawal diri dan perlu gunakan bulan ini bukan sahaja untuk beribadat tetapi bulan kita latih diri menolak gesaan nafsu,” katanya sewaktu berucap di Perdana Putra, hari ini (6 Mei).

Berucap di depan penjawat awam, Mahathir mengingatkan usaha melawan nafsu tidak seharusnya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja, tetapi perlu dilakukan pada bulan-bulan lain.

“Walaupun ada kalanya kita terpaksa akur tetapi kalau kita ikutkan nafsu, sudah tentu hasil yang kita lakukan itu akan menjadi lebih buruk.

“Mungkin pada mulanya akan ada kejayaan untuk dapatkan sesuatu. Tetapi akhirnya, ia hanya akan hasilkan keburukan pada diri sendiri,” katanya.

Jelasnya, sekiranya rakyat boleh menahan diri dari melakukan perbuatan dilarang agama, tidak mustahil akhirnya ia akan memberi kesan baik kepada diri serta akan dipercayai masyarakat dunia.

Apabila kita dikenali sebagai bangsa menolak nafsu, maka dunia ini akan hormati kita, dengan kepercayaan yang diberi maka kita akan dapat banyak manfaat dan peluang untuk lakukan segala-galanya.

“Kita akan dapat naik pangkat yang lebih tinggi, hanya orang yang menolak nafsu sahaja akan dipercayai semua, tidak kiralah kita pemimpin atau pegawai,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *