Home » Langit Terbuka » Pelan Induk Wakaf Nasional bentuk hala tuju pengurusan wakaf lebih sistematik

Pelan Induk Wakaf Nasional bentuk hala tuju pengurusan wakaf lebih sistematik

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan, bagi memastikan pengurusan wakaf lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf pada masa hadapan. - Foto YWM

KUALA LUMPUR – Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) yang akan diwujudkan kerajaan akan dapat membantu Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), menetapkan arah dan hala tuju pengurusan wakaf lebih sistematik, kata Ketua Pengarahnya Ruslan Said.

Beliau berkata PIWN akan bertindak sebagai rangka kerja untuk menggerakkan dan membimbing semua pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, swasta dan masyarakat dalam pengurusan dan pentadbiran wakaf.

“Langkah awal telah dibuat JAWHAR dengan mengadakan beberapa sesi perbincangan meja bulat bersama barisan panel pakar dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN),” katanya dalam kenyataan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan PIWN akan diwujudkan, bagi memastikan pengurusan wakaf lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Ruslan berkata PIWN juga bertujuan menyediakan platform perkongsian bagi menjamin kualiti, memastikan undang-undang, garis panduan dan arahan berkaitan wakaf dipatuhi, selain menggalakkan penyelidikan dan pembangunan wakaf untuk mewujudkan peluang ekonomi kepada umat Islam.

Ia menurutnya merupakan inisiatif transfomasi lima tahun, yang dirangka untuk mengubah Malaysia menjadi negara berwibawa dengan pemikiran serba baharu dalam pelaksanaan wakaf.

“JAWHAR amat optimis dalam usaha meningkatkan dana wakaf Negara. Perkhidmatan wakaf untuk semua pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad yang diperkenalkan kerajaan, sangat bertepatan dengan usaha menggalakkan orang ramai untuk berwakaf melalui pelbagai platform.

“Secara tidak langsung, banyak lagi pembangunan di atas tanah wakaf dapat dilaksanakan dengan lebih berkualiti dan berimpak tinggi,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *