Home » Langit Terbuka » Program Iqra’ TH sumbang RM5 juta bantu pelajar asnaf

Program Iqra’ TH sumbang RM5 juta bantu pelajar asnaf

Tabung Haji buat julung kalinya bekerjasama dengan Malaysia Professional Accountancy Centre memberi penajaan kepada 10 pelajar lepasan ijazah sarjana muda berstatus asnaf untuk menjalani Program ACCA. - Foto Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Prihatin terhadap nasib pelajar berstatus asnaf, Lembaga Tabung Haji (TH), menyumbang sebanyak RM4.5 juta kepada enam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar Lembah Klang.

Ia bakal dimanfaatkan lebih 2,200 pelajar asnaf di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, berkata sumbangan itu bertujuan membantu menampung perbelanjaan pengajian pelajar terbabit.

“Sebelum ini, program ini hanya tertumpu kepada pelajar sekolah rendah, namun berbeza tahun ini, kami menyasarkan kepada pelajar di IPTA.

“Awal tahun ini, beberapa universiti tempatan mengenal pasti ramai mahasiswa mereka tergolong dalam golongan miskin B40.

“Jadi, TH menyedari hakikat ini dan mengambil inisiatif membantu mahasiswa itu melalui Program Iqra TH,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Program Iqra’ TH 2019.

Turut hadir Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Staf TH, Hazimuddin Jamalluddin dan Anggota Lembaga TH, Datuk Zaiton Mohd Hassan.

Selain itu, TH buat julung kalinya bekerjasama dengan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPac) memberi penajaan kepada 10 pelajar lepasan ijazah sarjana muda berstatus asnaf untuk menjalani Program ACCA.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, penajaan berkenaan diharapkan dapat meningkatkan bilangan Akauntan Profesional Bumiputera (BPA) Islam yang mempunyai kelayakan perakaunan profesional.

“Lebih RM450,000 diperuntukkan untuk bantuan ini, yang mana lima pelajar akan menjalani program sepenuh masa manakala lima lagi separuh masa.

“Saya berharap dengan inisiatif ini bakal menambahkan jumlah akauntan bertauliah muslim di negara kita,” kata beliau.

Sejak 2012, lebih 30,000 pelajar asnaf mendapat manfaat daripada Program Iqra’ TH dengan peruntukan sebanyak RM16 juta. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *