Home » Citra Yadim » Rangkuman hari padat YADIM Kelantan

Rangkuman hari padat YADIM Kelantan

KOTA BHARU – Pelbagai program dilaksanakan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan pada 30 November dengan Yang Dipertua YADIM sendiri, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz turun padang ke program program tersebut.

Walaupun hujan turun sepanjang hari, kesemua program tersebut tetap diteruskan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pesertanya.
Ia bermula dengan Kem Peduli Remaja: Al-Quran Di Hatiku pada sebelah pagi di Kolej Matrikulasi Kota Bharu di sini.

Seramai 1,500 pelajar kolej berkenaan menghadiri program tersebut. Nik Omar meluangkan masa untuk bersama dengan para pelajar berkenaan dan menyampaikan sedikit tazkirah ilmu serta nasihat kepada mereka.

Selain beliau, program ini juga menampilkan Imam Tua Masjid Lundang, Ustaz Muhammadi Zakaria sebagai penceramah program.

Pada sebelah pagi juga di Dewan Kuliah 1, Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, berlangsung program Seminar Penderaan Kanak-Kanak anjuran Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR).

Ia mendapat kerjasama pertubuhan IKRAM Kota Bharu, dan Malaysian Against Pornography & Cakna Kesihatan.

Seramai 85 orang peserta menghadiri proram ini yang berobjektifkan memberi pendedahan tentang bahaya gejala mendera kanak kanak yang sekiranya tidak dipandang serius berpotensi besar mengancam pembinaan keluarga dan masyarakat.

Pengerusi MAWAR, Dr. Hafidzah Mustakim hadir sama dan memberikan ucapan aluan di program ini.

Pada masa yang sama di Pusat Aktiviti Persatuan Cina Muslim (MACMA) Kelantan, berlangsung program pengurusan jenazah. Wakil Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Kashuadi Abd Ghani telah bertindak sebagai tenaga pengajar bagi program ini.

Para peserta telah didedahkan secara teori dan praktikal mengenai cara cara dan kaedah pengurusan jenazah sekiranya berlaku kematian. Ianya merupakan anjuran bersama YADIM dan MACMA Kelantan.

Pada sebelah tengahari pula, Bahagian Penyelarasan NGO dan Rakan Strategik YADIM telah mengadakan ziarah rahmah kepada asnaf yang memerlukan di sekitar Pasir Puteh. Sedikit sumbangan disampaikan mereka bagi meringankan beban keluarga terpilih.

Dalam pada itu, selesai acara di Kolej Matrikulasi Kota Bharu, Nik Omar kemudiannya bertolak ke Masjid Kampung Gong Datuk di Pasir Puteh untuk satu majlis ringkas penyerahan bantuan bagi 40 asnaf terpilih. Beliau juga menyampaikan tazkirah selepas menunaikan solat Zohor berjemaah.

Nik Omar kemudiannya menyertai pegawai dan kakitangan Bahagian Penyelarasan NGO dan Rakan Strategik YADIM dalam sesi ziarah rahmah. Acara ini diadakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) The Third Force. Pengasas NGO tersebut, Raja Shamri Raja Husin, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh serta Pengarah Bahagian NGO dan Rakan Strategik, Fitri Aziz Yusof turut menyertai ziarah ini.

Sebanyak lima keluarga di santuni dalam ziarah ini.

Mereka kemudiannya bergerak ke Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Pasir Puteh, di mana berlangsungnya Kejohanan Memanah Terbuka Kelantan Kings Cup. Nik Omar telah diberi penghormatan menyempurnakan acara penutup kejohanan ini yang telah bermula sehari sebelumnya.

Seramai 160 peserta dari seluruh negara telah menyertai kejohanan ini yang pertama kali dianjurkan di sini. Program ini mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh dan Third Force sendiri selaku penganjur.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *