Home » Langit Terbuka » RM7 kadar zakat fitrah Negeri Sembilan

RM7 kadar zakat fitrah Negeri Sembilan

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan berkata, bagi memudahkan orang ramai, Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan akan membuka kaunter kutipan zakat setiap hari termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang bulan Ramadan ini. - Foto NSTP

SEREMBAN – Kadar zakat fitrah yang ditetapkan di Negeri Sembilan tahun ini ialah RM7 seorang, naik 50 sen berbanding tahun lalu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein berkata, bagi memudahkan orang ramai, Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan akan membuka kaunter kutipan zakat setiap hari termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang bulan Ramadan ini.

Ujarnya, waktu urusan kaunter kutipan zakat pada Sabtu, Ahad dan cuti umum ialah mulai 9 pagi hingga 4 petang manakala waktu urusan bagi hari kerja biasa ialah 8.30 pagi hingga 4.45 petang.

Beliau yang juga Pengerusi perbadanan itu berkata, langkah tersebut bertujuan memudahkan umat Islam menunaikan pembayaran zakat fitrah dan harta dalam waktu lapang mereka.

“Ia juga bertujuan menampung kehadiran umat Islam yang kebiasaannya akan mengambil kesempatan menunaikan zakat fitrah dan harta sepanjang Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain kaunter, tambahnya, pembayar zakat juga boleh melakukan pembayaran di pasar raya terpilih sekitar daerah ini pada setiap Sabtu dan Ahad mulai 10 pagi hingga 5 petang.

“Orang ramai juga boleh melakukan pembayaran zakat fitrah kepada 1,200 orang amil di negeri ini yang telah dilantik oleh perbadanan itu di masjid dan surau dalam kariah masing-masing.

“Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan juga mengingatkan orang ramai agar menunaikan zakat harta dan fitrah kepada amil dilantik yang memiliki kad tauliah serta berhati-hati dengan individu yang menyamar mengaku sebagai amil zakat,” katanya.

Bagi umat Islam yang mempunyai kad ATM atau Bankcard, pembayaran zakat harta juga boleh dilakukan dengan membawa kad itu di semua kaunter kutipan zakat Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan tanpa perlu membawa wang tunai.

“Selain menunaikan zakat harta di kaunter kutipan zakat, umat Islam juga boleh menunaikan zakat harta melalui di kaunter Pos Malaysia, agen-agen bank seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Bank Muamalat, CIMB dan Bank Simpanan Nasional,” jelas Mohamed lagi.

Selain itu, pembayaran zakat harta juga boleh dilaksanakan melalui internet dengan melayari www.zakatns2u.com.biz dan maklumat zakat terkini dalam Facebook Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan. – Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *