Home » Langit Terbuka » Terus pertahan institusi Raja, Perlembagaan

Terus pertahan institusi Raja, Perlembagaan

Raja dan Perlembagaan Persekutuan adalah dua elemen penting yang menjaga keharmonian kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini sejak merdeka, kata Timbalan Menetri di Jabatan Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja di negara ini dan memartabatkan Perlembagaan Persekutuan, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Dalam masa sama beliau memberitahu, semua rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang agama, kebudayaan atau kepercayaan perlu memberi penghormatan dan pengiktirafan yang tinggi terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga kepentingan semua kelompok masyarakat dan merupakan simbol kepada perpaduan.

“Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Konsep Raja Berperlembagaan yang mengimbangi kerajaan demokrasi pilihan rakyat membuatkan Malaysia sebagai negara yang unik dan stabil walaupun terdapat kepelbagaian.

“Ini kerana Raja dan Perlembagaan Persekutuan adalah dua elemen penting yang menjaga keharmonian kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini sejak merdeka,” katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial serta Hal Ehwal Agama Islam) Bersama Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama (JKMPKA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Fuziah menambah, perpaduan nasional harus terus menjadi satu misi penting bagi negara.

Menurutnya, perkara itu memerlukan satu kerangka bersifat komprehensif yang akan mampu menterjemahkan sebaik mungkin wajah kerencaman masyarakat majmuk Malaysia.

Katanya, keadilan, penerimaan dan toleransi perlu menjadi nilai-nilai asas kepada kerangka perpaduan nasional.

“Seterusnya, nilai-nilai ini perlu digarap dengan menjadikan perlembagaan sebagai kerangka utama dalam mendukung agenda perpaduan nasional dalam konteks Malaysia,” katanya. – Utusan

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *