Home » Langit Terbuka » Umat Islam di Malaysia sambut Aidiladha 29 Jun ini

Umat Islam di Malaysia sambut Aidiladha 29 Jun ini

Mohd Aseral ketika mengumumkan sambutan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 29 Jun ini bersamaan 10 Zulhijjah 1444 Hijrah melalui saluran televisyen tempatan pada Ahad. Foto Sinar Harian

SHAH ALAM – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun ini iaitu bersamaan dengan 10 Zulhijah 1444 Hijrah.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Mohd Aseral Jusman pada Ahad.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1444 Hijrah ialah pada hari Selasa 20 Jun 2023 Masihi.

“Oleh yang demikian, Hari Raya Korban 10 Zulhijah bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Khamis, 29 Jun 2023 Masihi. Sekian,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi pengumuman rasmi yang disiarkan di saluran televisyen tempatan.

Ia selepas sesi pencerapan dijalankan di 29 lokasi di seluruh negara pada petang Ahad.

Lokasi tersebut ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Antara lokasi lain adalah Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.

Pusat Falak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah serta Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Brinchang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.

Turut menjadi lokasi melihat anak bulan itu ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis. – Sinar Harian

 

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *