Home » Langit Terbuka » Umat Islam diserang, Sri Lanka isytihar darurat 10 hari

Umat Islam diserang, Sri Lanka isytihar darurat 10 hari

PASUKAN keselamatan mengawal kawasan di wilayah Kandy, semalam. AGENSI

COLOMBO 6 Mac – Sri Lanka mengisytiharkan darurat selama 10 hari untuk meredakan rusuhan anti-Islam yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan merosakkan puluhan rumah serta masjid.

Kerajaan telah menghantar pasukan tentera dan polis elit ke wilayah Kandy dan daerah Taldeniya kira-kira 160 kilometer dari Colombo untuk mengawal keadaan selepas serangan dilakukan ke atas sebuah kedai milik penduduk Islam kelmarin.

Serangan itu tercetus berikutan kematian seorang remaja Sinhalese yang didakwa diserang oleh sekumpulan penduduk Islam dan polis dilaporkan telah menahan empat lelaki berhubung kes tersebut.

“Pada mesyuarat khas Kabinet, kami telah memutuskan un­tuk mengisytiharkan darurat selama 10 hari bagi mencegah penyebaran rusuhan kaum ke bahagian lain di negara ini,”

“Kerajaan juga memutuskan untuk bertindak terhadap mana-mana individu yang cuba menghasut dan mencetuskan keganasan melalui media sosial Facebook,” kata jurucakap, Dayasiri Jayasekara..

Penduduk Islam yang ditemu ramah melalui telefon berkata, beberapa serangan terhadap harta benda milik mereka berlaku selepas permulaan perintah berkurung yang berkuatkuasa pada kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan kelmarin.

Menteri kanan beragama Islam, Rauff Hakeem turut meluahkan kekecewaan terhadap serangan yang hanya menyasarkan harta benda milik penduduk Islam.

“Kegagalan jentera dan pe­rintah undang-undang menjadi punca kepada masalah ini. Kerosakan itu tidak dapat dibayangkan jelas, sekali adalah jenayah kebencian,” katanya.

Sebelum serangan itu, polis menggunakan gas pemedih mata dan semburan air untuk me­nyuraikan penduduk termasuk sami-sami Buddha yang berkumpul berhampiran sebuah balai polis tempatan.

Pertembungan itu berlangsung seminggu selepas sekurang-kurangnya lima orang cedera dan beberapa buah kedai serta masjid rosak akibat diserang perusuh di timur Sri Lanka.

Tahun lepas, diplomat me­ngutuk keganasan terhadap umat Islam dan menggesa kerajaan menegakkan hak dan kebebasan beragama setelah lebih daripada 20 serangan ke atas penduduk minoriti itu dikesan. – REUTERS

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *