Home » Langit Terbuka » Yadim salur bantuan RM15,500 kepada 20 nelayan di Melaka

Yadim salur bantuan RM15,500 kepada 20 nelayan di Melaka

ALOR GAJAH – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini menyalurkan bantuan berjumlah RM15,500 kepada 20 penerima khususnya golongan nelayan di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Masjid Tanah di sini, bagi meringankan beban mereka yang terkesan ekoran penularan COVID-19.

Sumbangan menerusi Program Bulan Dakwah 2020 Is’ad Al-Usrah dan Musaadah itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan turut dihadiri Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan.

Penerima bantuan, Hahnizainizam Hasan, 43, berkata beliau bersyukur menerima bantuan membaiki bahagian atap dan dapur rumahnya serta enjin bot baharu bernilai keseluruhan RM14,500.

“Dah tiga tahun kami hidup dalam keadaan tidak selesa dan tenteram terutama apabila hari hujan dan ribut. Bahagian atap banyak mengalami kerosakan dan bocor menyebabkan saya terpaksa menadah air hujan menggunakan besen dan botol kosong.

Alhamdulillah dapat enjin baharu juga. Kalau hendak kumpul duit membeli enjin baharu saya tidak tahu sampai bila akan dapat turun ke laut dengan bot sendiri,” katanya yang telah menjadi nelayan sejak lebih enam tahun lepas.

Bapa kepada empat anak berusia tiga hingga 12 tahun itu berkata enjin bot baharu yang diterima akan dijaga sebaik mungkin dan beliau tidak sabar turun ke laut mencari rezeki untuk keluarga.

Katanya sejak Mei lepas, beliau tidak dapat turun ke laut kerana enjin bot miliknya rosak sekali gus menjejaskan pendapatannya namun bernasib baik kerana mempunyai pekerjaan sambilan sebagai pengutip telur penyu di bawah Jabatan Perikanan selain sekali-sekala menjadi peneman rakan yang turun ke laut.  – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *