Home » Langit Terbuka » Pelihara kepelbagaian kaum, jangan keruhkan keharmonian

Pelihara kepelbagaian kaum, jangan keruhkan keharmonian

Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama berikrar untuk saling menjaga keharmonian, kestabilan dan keamanan di negara ini. - Foto Deenamik

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak memandang ringan soal menjaga hubungan antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikekalkan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun kini rakyat Malaysia bertuah kerana masih dapat meraikan pelbagai perayaan termasuk Tahun Baru Cina dengan penuh harmoni dan aman, namun keadaan mungkin tidak sentiasa begitu.

Ini kerana, katanya, ada pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian ini untuk tujuan tertentu, sehubungan itu semua pihak diharap tidak membiarkan diri mereka terhasut dengan perkara sebegitu.

“Di dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama, kita dapat meraikan kepelbagaian ini, dengan penuh keharmonian dan keamanan. Ini merupakan satu perkara yang biasa bagi kita.

“Tetapi ia tidak sentiasa begitu. Menjaga hubungan antara rakyat berlainan kaum dan agama, budaya, bukanlah satu perkara yang mudah dan kita tidak boleh pandang ringan perkara ini,” katanya dalam video perutusan Tahun Baru Cina yang dimuat naik di laman sosialnya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama berikrar untuk saling menjaga keharmonian, kestabilan dan keamanan di negara ini.

Dr Mahathir turut berharap seluruh rakyat dapat meneruskan tradisi mengunjungi rumah terbuka rakan dan taulan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Ambillah peluang ini untuk kukuhkan lagi tali persaudaraan sesama kita rakyat Malaysia. Sekali lagi, saya serta isteri (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali) mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai, Xin Nian Kuai Le, Gong Xi Gong Xi,” katanya.

Perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini disambut pada 5 dan 6 Feb, yang akan diraikan selama 15 hari sebelum berakhir dengan Perayaan Chap Goh Mei yang juga dikenali sebagai Hari Kekasih versi masyarakat Cina.- Bernama

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *