Home » Langit Terbuka » Akta 355 bakal dipinda, hukuman lebih berat untuk LGBT

Akta 355 bakal dipinda, hukuman lebih berat untuk LGBT

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pihaknya sudah mengarahkan agensi agama dan penguatkuasa agama negeri supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu yang berkelakukan tidak sopan selain berpakaian kontra dengan jantina. - MelakaKini

KOTA BHARU – Kerajaan bercadang untuk meminda Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata pendekatan itu juga diharap mampu memberi kesan kepada golongan berkenaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan untuk membuat pindaan daripada kadar hukuman sedia ada supaya hukuman itu lebih memberi kesan kepada mereka.

“Setakat ini di bawah Akta 355, hukuman yang dikenakan adalah tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

“Pindaan itu perlu bagi menangani salah laku golongan berkenaan. Namun, buat masa ini, kita mengguna pakai enakmen sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Food Bank oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, pada 19 Januari.

Pada masa sama, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya sudah mengarahkan agensi agama dan penguatkuasa agama negeri supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu yang berkelakukan tidak sopan selain berpakaian kontra dengan jantina.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini bahawa maksiat daripada LGBT itu, kita tidak izinkan mereka berkelakukan seperti itu.

“Individu yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung perkara berkenaan juga diminta membuat laporan supaya tindakan tegas boleh diambil termasuk proses pendakwaan.

“Untuk kes berkenaan, tumpuan kita lebih kepada Lembah Klang berbanding negeri lain seperti Kelantan kelihatan tidak begitu ketara,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *