Home » Citra Yadim » Daurah Hadith Sahih Bukhari di Jamia Markaz, Kerala India

Daurah Hadith Sahih Bukhari di Jamia Markaz, Kerala India

DUA Kakitangan YADIM telah menerima tajaan untuk mengikuti Daurah Hadith Sahih Bukhari di Jamia Markaz, Kerala India yang dibimbing sendiri oleh Mufti Besar India, Syeikh Abu Bakar Ahmad yang juga Tokoh Maal Hijrah 1445H.
Penolong Pengarah Bahagian Penyelarasan NGO dan Rakan Strategik, Ustaz Khusnaini Mongin dan Ustaz Abdul Hafiz Mat Tuah kini mengikuti program tersebut bermula 26 Januari lalu hingga 5 Februari ini.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Dr. Bashir Mohamed Al-Azhari dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ustaz Zamri Zainal Abidin juga melapangkan masa daripada jadual padat mereka untuk turut terlibat sama.
Kami kongsikan perjalanan ilmiah mereka setakat ini.
-Hari Pertama-
Rombongan telah berkesempatan menziarahi masjid-masjid serta makam para wali di sekitar Kerala, India. Antaranya Masjid Charuman, Kodunggalur. Ia merupakan masjid pertama di India yang dibina oleh salah seorang sahabat, Sayyidina Malik bin Dinar Radhiya Allahuanhu pada tahun ke-5 Hijrah (bersamaan 629 Masihi).
Pembinaannya didanai sendiri oleh Raja Malabar yang beragama Islam. Disebelah sayap kiri masjid, dimaqamkan Sayyidina Habib bin Malik serta isterinya, Sayyidatina Khumariat Beevi.
Turut diziarahi ialah Masjid Al-Funnani. Masjid ini dibina oleh Al-Imam As-Syeikh Zainuddin Makhdum Malibari A-Kabir. Di situ juga beliau mendidik dan mengajar para pelajar beliau. Al-Imam dimaqamkan bersebelahan masjid bersama para Saadah Al-Makhdoomi yang lain. Hingga kini, pusat pengajian tersebut masih wujud dengan menampung kira-kira seribu orang pelajar sekitar Kerala.
Tidak ketinggalan ialah Masjid Ghair Jami’ milik Syeikh Zainuddin Malibari Al-Kabir. Berkeluasan hanya sekitar 20 kaki persegi sahaja. Masjid itu merupakan ruang khas tempat khalwah dan zikir bagi Al-Imam Zainuddin Malibari Al-Kabir.
Delegasi yang terlibat juga menziarahi bilik tempat Al-Imam Zainuddin Malibari As-Saghir mengarang Fathul Muin dan Tuhfatul Mujahidin. Bilik itu masih dikekalkan dan dijaga oleh keturunan beliau. Ia Bilik itu terletak di dalam Makhdoomi English School.
Mereka juga mengadakan lawatan ke sebuah badan bukan kerajaan, Maunatul Islam Association, yang merupakan pusat pembangunan saudara baharu.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada mereka berdua. Semoga pulang kelak membawa ilmu dan pengalaman untuk melestari gerakan dakwah di Malaysia pula.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *