Home » Langit Terbuka » Ibu bapa perlu prihatin pilih pusat tahfiz, elak anak jadi mangsa

Ibu bapa perlu prihatin pilih pusat tahfiz, elak anak jadi mangsa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf.- Foto FB

UALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta ibu bapa untuk lebih prihatin dalam memilih pusat tahfiz agar anak mereka tidak menjadi mangsa kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab memastikan pusat tahfiz yang dipilih adalah berdaftar dan ia merupakan perkara paling utama yang perlu difikirkan.

“Pendaftaran sangat penting, ibu bapa yang hantar anak-anak perlu prihatin. Tindakan drastik yang utama perlu dilakukan ialah kesedaran ibu bapa. Bila berdaftar (pusat tahfiz), kita ada kawalan terhadap pusat itu, boleh tahu apa yang diajar, tahu siapa tenaga pengajar dan boleh tahu bagaimana dia kendalikan tahfiz itu.

Itu pilihan ibu bapa. Tapi pilihan yang macam mana, adakah sekadar tempat buangan kemudian tinggalkan… akhirnya tahfiz tidak menjadi institusi yang dihormati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini (9 November).

Beliau berkata tidak semua tahfiz mempunyai rekod yang buruk dan ibu bapa perlu menitikberatkan hal kebajikan, keselamatan dan ko-kurikulum yang disediakan tahfiz.

“Kita ada model-model tahfiz yang bagus,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lepas, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar, maut dengan kesan lebam pada badannya. Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang, Temerloh, Pahang. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *