Gambaran asas akan kedudukan wanita digariskan oleh al-Quran iaitu menjadikan lelaki dan wanita sebagai dua gandingan bersepakat dalam memikul tanggungjawab yang besar dalam kehidupan Islam iaitu urusan dalam menunaikan ­konsep ‘amar makruf nahi mungkar‘ (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran). Ini dapat dilihat melalui maksud ayat 71 surah at-Taubah: “Dan mereka yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah daripada yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Dalam merealisasikan asas yang disebut dalam ayat tersebut maka tercatat dalam sejarah Islam di mana ada seorang wanita telah mengkritik pendapat Saidina Umar al-Khattab dalam masjid ketika beliau berucap atas mimbar. Kritikan wanita itu menyebabkan beliau menarik pendapatnya mengenai penetapan kadar mas kahwin dan menerima kenyataan yang dikeluarkan oleh wanita tadi. Beliau selepas itu menyatakan kepada orang ramai : “Telah benar wanita ini dan telah salah Umar!”.

Sabda Nabi SAW : “Menuntut ilmu itu fardu ke atas setiap Muslim”. (Riwayat Ibnu Majah) – Para ulama bersepakat bahawa maksud sebenar hadis ini menjelaskan terminologi ‘Muslim’ adalah turut merangkumi kaum wanita sehingga wanita juga diwajibkan membetulkan akidah, cara beri­badat memperelokkan akhlak dengan adab Islam pada pemakaian, perhiasan dan sebagainya agar tidak terkeluar daripada garisan Islam. Kewajipan menuntut ilmu ini juga bertujuan memastikan wanita sentiasa berada dalam garisan Islam pada perkara halal dan haram, tanggungjawab dan kewajipan sehingga Islam membenarkan kaum itu belajar sampai ke tahap mampu berijtihad.

Dalam fiqh ada disebut tidak boleh seorang suami melarang isterinya daripada menuntut ilmu yang wajib sekiranya dia sendiri tidak mampu untuk mengajar isterinya. Suami juga tidak boleh mengabaikan kewajipan menuntut ilmu terhadap isterinya. Sementara itu, isu solat berjemaah tidak diwajibkan kepada kaum wanita walaupun ia diwajibkan kepada lelaki juga adalah satu lambang kemuliaan kepada wanita, ini kerana solat wanita di rumah lebih afdal bersesuaian dengan keadaan mereka untuk elak daripada fitnah tetapi Islam juga menggariskan kaum lelaki tidak boleh melarang kaum wanita daripada datang solat berjemaah di masjid. Ini diambil daripada sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Ibnu Umar yang bermaksud :“Jangan kamu menegah orang menuju Allah ke masjid-masjid Allah.”

Dakwaan Islam mengurung wanita di dalam rumah juga tidak tepat kerana wanita juga diharuskan keluar daripada rumahnya untuk menunaikan hajatnya sendiri atau pun hajat suami dan anaknya seperti keluar ke kebun, sawah dan juga pasar. Ini dapat diambil daripada kata-kata Asma Abu Bakar : “Aku telah menjunjung tamar atas kepalaku dari tanah az-Zubair(suaminya) dan ia dari Madinah kira-kira satu pertiga farsakh ( kiraan lama )”.

Bahkan dalam urusan paling besar bagi sebuah negara Islam iaitu jihad, wanita diharuskan keluar bersama-sama tentera dalam peperangan bagi menjalankan tugas merawat dan membantu mereka cedera dan juga tugas yang seumpamanya yang sesuai dengan fitrah dan kemampuan mereka. Imam Ahmad dan Bukhari telah meriwayatkan daripada ar-Rubai Mu’awwiz al-Ansariah telah berkata : “Adalah kami berperang bersama Rasulullah SAW dalam memberi minum kepada kaum dan memberi khidmat serta membawa pulang mangsa yang terbunuh dan cedera ke Madinah“.

Diriwayatkan daripada imam Ahmad dan Muslim daripada Ummu ‘Atiyyah telah berkata : “Aku telah berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak tujuh ­peperangan. Aku berada di belakang mereka dalam perjalanan, aku menyediakan bagi mereka makanan, aku merawat orang cedera dan aku mengerjakan masa diperlukan”.

Ini adalah kerja-kerja yang sesuai dan bertepatan dengan fitrah wanita dan tugas mereka manakala kerja mengangkat senjata dan berperang itu bukanlah daripada tugas kaum wanita melainkan jika tenaga mereka begitu diperlukan dalam keadaan tertentu. Ketika ini barulah mereka dibenarkan untuk bersama dengan lelaki dalam berperang menentang musuh setakat yang mampu. Ini pernah berlaku dalam sejarah Islam yang mana pada suatu hari Ummu Salim telah mengambil pisau besar dalam peperangan Hunain. Apabila suaminya Abu Talhah bertanya kepadanya maka dia menjawab : “Aku mengambilnya adalah bertujuan jika ada sesiapa daripada musyrikin yang mara ke arahku nescaya aku akan tikam perutnya”.

Ummu Amarah al-Ansariah pula telah ditimpa percubaan yang baik pada peperangan Uhud sehingga Rasulullah SAW memujinya. Dalam peperangan ­memerangi kaum yang murtad pada zaman Saidina Abu Bakar pula, dia menyaksikan serta menyertai peperangan itu sehingga matinya Musailamah al-Kazzab. Dia pulang dan ditubuhnya mempunyai sepuluh kesan luka akibat daripada peperangan itu.

Berkesinambungan daripada semua kisah ini dapatlah kita fahami bagaimana Islam tidak pernah menafikan hak wanita bekerja, menuntut ilmu dan keluar dari rumah disebabkan menjalankan tugas yang sesuai dengan mereka. Islam tidak pernah memenjarakan wanita di ceruk dapur dan menjadikan mereka sebagai perhiasan. Ini kerana Islam melihat betapa pentingnya kebebasan selagi mana tidak bertentangan dengan syarak dan juga peranan wanita yang begitu penting dalam masyarakat terutama dalam membina generasi mendatang.

PENULIS ialah ahli Majlis Ulama , Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).