Home » Langit Terbuka » Kelewatan bayaran balik GST beri kesan kepada aliran tunai syarikat

Kelewatan bayaran balik GST beri kesan kepada aliran tunai syarikat

Kelewatan bayaran balik cukai input daripada GST, menyebabkan syarikat perlu menanggung beban kewangan disebabkan mereka perlu beroperasi dengan kos kewangan tambahan untuk membiayai pinjaman

KUALA LUMPUR – Kelewatan bayaran balik cukai input daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada syarikat akan memberi kesan kepada aliran tunai mereka berikutan mereka mungkin perlu bergantung kepada pinjaman untuk menampung kelewatan yang tidak dijangka itu.

Perunding cukai daripada YYC Holdings Sdn Bhd, Yap Shin Siang, berkata syarikat perlu menanggung beban kewangan disebabkan mereka perlu beroperasi dengan kos kewangan tambahan untuk membiayai pinjaman tersebut.

“Dalam senario hari ini, perniagaan tidak pasti sama ada mereka boleh mendapat semula bayaran balik cukai mereka atau tidak,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada kelewatan bayaran balik GST itu akan memberi sebarang implikasi kepada perniagaan kecil atau pengguna.

Ini disebabkan kelewatan cukai input telah ditanggung pengeksport dan syarikat yang mempunyai modal besar seperti pemaju hartanah, syarikat minyak dan gas, serta gudang dan kilang.

“Walaupun ini akan menjadi beban, perniagaan tidak akan menaikkan harga mereka disebabkan kelewatan bayaran balik GST kerana persaingan pasaran adalah sengit,” katanya.

Sementara itu, Rakan Kongsi Cukai Tidak Langsung Deloitte Malaysia Senthuran Elalingam berkata keputusan penetapan harga yang dibuat oleh perniagaan berdasarkan beberapa faktor dan cukai adalah antaranya.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh berdasarkan satu faktor untuk menyatakan sebab harga naik atau turun,” katanya.

Bagaimanapun, Senthuran menegaskan penting bagi kerajaan untuk menguatkuasakan langkah yang ketat untuk mengekang pencatutan bagi memastikan perniagaan tidak mengambil kesempatan daripada keadaan itu.

“Kerajaan perlu melaksanakan pelbagai langkah untuk mengawal pencatutan dan kami menjangka penguatkuasaan langkah itu akan membantu mengatasi kenaikan harga yang tidak adil, ” katanya.

Kebimbangan dalam kalangan perniagaan wujud selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Rabu lepas berkata kredit cukai input GST sebanyak RM18 bilion di bawah sistem GST sejak 2015, telah ‘hilang’ daripada akaun amanah.

Menurut rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenai cukai input GST, terdapat sebanyak RM19.4 bilion kredit cukai input kepada perniagaan sejak 2015 hingga 31 Mei tahun ini.

Bagaimanapun, hanya terdapat RM1.5 bilion dalam akaun amanah.

Menurut JKDM, ia telah membuat tuntutan atas jumlah tersebut tetapi tidak diluluskan pada mesyuarat bulanan akaun amanah.

 

https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1631296

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *