Home » Langit Terbuka » KKM perkukuh pemantauan penularan Ebola di Malaysia

KKM perkukuh pemantauan penularan Ebola di Malaysia

Hampir 2,500 orang telah dijangkiti virus Ebola setakat ini. - Foto Irish Times

BANGI – Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung penularan Penyakit Virus Ebola (EVD) di Republik Demokratik Congo, pada 17 Julai lalu.

Bermula pada tahun 2014 selepas WHO mengisytiharkan wabak Ebola di negara Afrika Barat sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC), KKM sentiasa memperkukuhkan pemantauan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi potensi penularan penyakit berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya memberi penekanan mengenai pengurusan kes yang disyaki dengan menggunakan garis panduan pengurusan EVD di Malaysia kepada semua anggota KKM.

Selain itu, beliau berkata, saringan kesihatan bagi pelawat Republik Demokratik Congo – negara yang tersenarai berisiko untuk transmisi penyakit demam kuning – telah sedia ada dijalankan di pintu masuk antarabangsa.

“Justeru, aktiviti saringan kesihatan ini akan diperkukuhkan lagi bagi mengesan gejala jangkitan EVD.

“Penumpang atau anak kapal yang disyaki mempunyai gejala EVD akan dirujuk ke hospital yang dikenalpasti bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemakluman berkaitan EVD serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi diberikan kepada anggota KKM, termasuk di pintu masuk antarabangsa.

“Kes Person Under Investigation (PUI) EVD akan dilaporkan kepada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) Kebangsaan, melalui Pejabat Kesihatan Pintu Masuk, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk pemantauan dan tindakan selanjutnya.

“Mempertingkatkan pengetahuan berkaitan EVD kepada masyarakat dan pelawat dan KKM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi yang berkaitan secara berterusan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons KKM bagi menghadapi potensi penularan penyakit EVD di Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, situasi kejadian penyakit berkenaan akan terus dipantau oleh pihak kementerian dan sebarang perkembangan daripada WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – KKM

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *