Home » Langit Terbuka » NGO Islam pohon serah Deklarasi Rakyat tolak Israel kepada PM

NGO Islam pohon serah Deklarasi Rakyat tolak Israel kepada PM

Kesemua NGO berkenaan menyokong sepenuhnya keputusan Perdana Menteri, dalam memastikan kedaulatan negara terus terjamin.. - Foto Malaysia Gazette

PUTRAJAYA – Lebih 45 badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam berhimpun di perkarangan pintu masuk Masjid Putra, Putrajaya bagi menunjukkan solidariti terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung penolakan kemasukan atlet Paralimpik Israel ke negara ini.

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid, kesemua NGO itu menyokong sepenuhnya keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memastikan kedaulatan negara terus terjamin.

“Kita akan jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dapat menyampaikan Deklarasi ini kepada beliau dan akan disebarkan kepada 222 ahli Parlimen dan kita akan juga bertemu Menteri Luar dan bawa deklarasi ini supaya menjadi pendirian rakyat Malaysia dan disokong oleh negara lain.

“Kita mohon untuk berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kita nak nyatakan sokongan,” katanya kepada media.

Lebih 200 peserta Perhimpunan Rakyat Tolak Israel Masuk Malaysia berkumpul di perkarangan Masjid Putra selepas solat Jumaat.

Antara NGO yang terlibat adalah Persekutuan Masjid Dunia Dalam Mempertahankan Masjid Al Aqsa (Manar), Sekretariat Perhimpunan Ulama Asia (Shura), dan banyak lagi.

Dalam deklarasi itu, Mapim dan NGO lain sebulat suara bersetuju mana-mana rejim yang melakukan penindasan, genosid, penghapusan etnik, perampasan dan penafian hak tidak layak mendapat pengiktirafan dan sokongan dari Malaysia.

“Mana-mana negara ada pendirian masing-masing, ada yang tidak dibenarkan masuk. Tidak perlu dipersoalkan larangan, ini kerana kes ini sudah 70 tahun lamanya.

“Kekejaman daripada negara yang dulunya tidak wujud, tetapi sekarang diwujudkan secara haram, ini kes yang berbeza dengan negara Myanmar.

“Ini kerana mereka merampas secara terang-terangan tanah orang Palestin. Sebab itu pendirian negara ini jangan dibandingkan dengan mengatakan kita wujud pilih kasih,” katanya.

Justeru itu, kesatuan tersebut mengecam Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang membatalkan hak Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, 28 Julai ini.

“Kami mengecam IPC kerana menjadi alat kepada Israel dan tunduk kepada kehendak negara itu mengenai pendirian Malaysia mengharamkan atlet mereka masuk ke dalam Malaysia,” kata Mohd Azmi lagi.

Antara lain, mereka turut mendesak agar kerajaan menyemak semua perdagangan langsung atau tidak langsung dengan Israel.

Malah kesatuan itu turut mendesak semua negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mencontohi Malaysia dan mengambil tindakan yang sama seperti yang ditunjukkan oleh Malaysia. -MalaysiaGazette

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *