Home » Langit Terbuka » Pelantikan AG: Harap Dapat Diselesaikan Dengan Kebijaksanaan

Pelantikan AG: Harap Dapat Diselesaikan Dengan Kebijaksanaan

TAN Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mahu isu pelantikan Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas, menjadi krisis perlembagaan dengan Raja-Raja Melayu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan Istana Negara.

“Saya dimaklumkan ada mesyuarat Majlis Raja-Raja dan itu mungkin boleh membantu dari segi menyelesaikan kelewatan perkara apa yang hendak diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi pihak jemaah menteri kami memberi sokongan yang padu kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad),” katanya pada sidang media selepas melakukan kunjungan rasmi dan sesi taklimat di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Timbalannya Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Muhyiddin mengulas isu pelantikan Peguam Negara baharu menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini diarah bercuti sebulan yang masih belum diputuskan selepas laporan menyatakan Istana Negara menolak nama Thomas.

Beberapa portal berita turut menyebut Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menolak calon yang dicadangkan Kerajaan Persekutuan itu kerana peguam itu bukan Melayu dan Islam.

Muhyiddin berkata, penyelesaian isu peguam negara baharu adalah salah satu langkah yang amat penting untuk menentukan proses penguatkuasaan undang-undang dan lain-lain dapat dilaksanakan.

“Kita tahu di depan kita ada pelbagai isu dan masalah besar jadi kalau itu (isu peguam negara) dapat diatasi dengan sebaik-baiknya bersandarkan kepada pertimbangan yang bijaksana mengikut peruntukan yang ada dalam perlembagaan negara, maka saya tak fikir ia akan jadi satu isu yang berlarutan.

“Saya tak mahu menjangkakan ia menjadi satu krisis yang berlarutan,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *