Home » Langit Terbuka » Projek rintis serap jawatan guru KAFA dipinda tahun depan

Projek rintis serap jawatan guru KAFA dipinda tahun depan

Kerajaan amat komited dan prihatin terhadap guru-guru KAFA dengan segala usaha ke arah memperkasakan mereka akan terus dilaksanakan secara berfasa. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Inisiatif pelaksanaan projek rintis pembelajaran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini terpaksa dipinda pada tahun seterusnya susulan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, inisiatif diusahakan kerajaan terdahulu itu sedang giat dijalankan pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi merealisasi usaha menyerap jawatan guru-guru KAFA.

“Sebenarnya sebagaimana kita ketahui, proses (projek rintis KAFA) giat dijalankan dengan langkah pertama yang kita lakukan adalah kita akan tengok sejauh mana permasalahan guru KAFA, kita akan senarai dan buat (penyelesaian) satu persatu terlebih dahulu.

“Kerjasama ini dilakukan bersama KPM dan JPA, namun Projek Rintis KAFA tahun 2020 terpaksa dipinda pada tahun seterusnya susulan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Zulkiflli menegaskan, kerajaan amat komited dan prihatin terhadap guru-guru KAFA dengan segala usaha ke arah memperkasakan mereka akan terus dilaksanakan secara berfasa.

Menurutnya, antara usaha keprihatinan itu termasuklah menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM100, menjadikan elaun mereka kini sebanyak RM1,000 sebulan.

“Kenaikan elaun ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM481,593,000 kepada 35,000 guru KAFA seperti diluluskan dalam Belanjawan 2020.

“Jumlah ini termasuk jumlah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk semua guru.

“Pemerkasaan guru-guru KAFA akan terus menjadi komitmen utama kerajaan Perikatan Nasional supaya institusi KAFA dan pendidikan Islam akan terus dilihat bermutu serta mampu menghasilkan alim ulama profesional dan menyumbang untuk ummah,” katanya. – Sinar Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *