Home » Citra Yadim » SAR lebar sayap ke Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang

SAR lebar sayap ke Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang

Mohd Fasiah (dua dari kanan) bersama Shahrizal (dua dari kiri), ketika melancarkan serentak SAR Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang.

SABAK BERNAM – Sukarelawan Al Rahmah (SAR) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kini melebarkan sayapnya ke daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang melalui satu pelancaran serentak pada 6 Julai lalu.

Bertempat  di Pusat Kecemerlangan, Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam, majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam, Yang Berhormat Dato’ Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Khidmat Bakti (Sukarelawan YADIM) YADIM,  Shahrizal Mat, Penyelaras YADIM Selangor, Mohd Faiz Safwan Abd Kadir, ASP Iek Ren Chong dari Bahagian Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, serta wakil wakil Ahli Dewan Undangan Negeri di Parlimen Sabak Bernam.

Tidak ketinggalan ialah ahli SAR dari kawasan lain di negeri ini seperti SAR Kuala Langat, Sepang, Sungai Buloh dan Shah Alam.

Mohd Fasiah dalam ucapannya melahirkan hasrat agar SAR menjadi sukarelawan yang pertama tampil menyantuni masyarakat sekiranya timbul keperluan seperti ketika bencana alam, kemalangan dan sebagainya.

Beliau menyokong penuh penubuhan SAR di Sabak Bernam, sambil menyatakan, badan beruniform ini juga sebenarnya berperanan menyampaikan dakwah dalam bentuknya yang tersendiri.

Tambah beliau, selain membantu ketika diperlukan, SAR juga perlu memperbanyakkan aktiviti mereka sendiri agar kehadiran dan peranannya dapat dirasai masyarakat.

Beliau turut menyerahkan ves SAR kepada wakil pasukan sebagai gimik pelancaran pada majlis berkenaan.

YADIM dalam pada itu menyampaikan sumbangan RM500 sebagai inisiatif penubuhan kepada pasukan yang baru ditubuhkan tersebut.

Dengan pelancaran itu, SAR Sabak Bernam akan diketuai oleh Hasnah binti Johari, Sidek Leewan (Klang) dan Asmah Husin (Kuala Selangor).

Selain pelancaran, turut diadakan ialah sesi penerangan dan perbincangan mengenai gerak kerja dan penyelarasan program di Selangor yang dikendalikan oleh Mohd Faiz Safwan dan Shahrizal Mat.

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *