Home » Langit Terbuka » Tiga pilihan kadar zakat fitrah di Perak

Tiga pilihan kadar zakat fitrah di Perak

Harga minimum yang perlu dibayar oleh setiap individu yang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah ialah RM7, bagaimanapun, adalah digalakkan pembayar fitrah untuk membayar melebihi kadar tersebut mengikut beras yang dimakan, jelas Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak - Foto SAYS

IPOH – Pembayaran zakat fitrah bagi tahun 1440H/2019M di negeri ini ditetapkan pada tiga pilihan harga iaitu RM7, RM14, RM21.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam satu kenyataan memaklumkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan memperakui pandangan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Kali Ke-216 pada 16 Januari lalu bagi penetapan harga zakat fitrah tersebut.

“Harga minimum yang perlu dibayar oleh setiap individu yang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah ialah RM7.

“Bagaimanapun, adalah digalakkan pembayar fitrah untuk membayar melebihi kadar tersebut mengikut beras yang dimakan atas dasar tatawwu’ iaitu RM14 bagi penggunaan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut dan herba poni sementara RM21 bagi yang menggunakan beras basmathi, beras jepun, beras merah dan seumpamanya,” kata kenyataan itu di sini hari ini (3 Mei).

Dalam pada itu, bagi memudahkan pembayaran zakat, sebanyak 1,897 orang amil fitrah telah dilantik oleh MAIPk di seluruh negeri ini.

Menurut kenyataan itu, amil-amil tersebut akan bertugas di semua masjid dan surau di negeri ini manakala kaunter sementara dan kaunter bergerak juga akan dibuka di beberapa tempat pilihan dan tumpuan orang ramai sepanjang bulan Ramadan ini.

“MAIPk turut menyeru orang ramai agar menggandakan amalan di bulan Ramadan dengan merebut peluang menunaikan zakat harta dan seterusnya menyumbang wakaf tunai bersama Waqaf Perak Ar-Ridzuan,” kata kenyataaan tersebut. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *