Home » Citra Yadim » Dialog Keluarga Malaysia bersama komuniti Cina dan India Taman Tas

Dialog Keluarga Malaysia bersama komuniti Cina dan India Taman Tas

KUANTAN – Saling berkenalan, bercampur gaul dalam kehidupan bermasyarakat, tolong-menolong, ziarah menziarahi, mempelajari serta saling meraikan adat dan budaya antara kaum adalah antara kunci kepada perpaduan dalam masyarakat majmuk.

Semua perkara tersebut terdapat di dalam ajaran agama, justeru perlulah agama diberikan penekanan dalam pembentukan “Keluarga Malaysia.” Kerana itulah “Kepercayaan Kepada Tuhan” menjadi rukun negara Malaysia yang teratas.

Dalam realiti masyarakat majmuk di Malaysia, semua pihak hendaklah akur bahawa Melayu adalah kaum yang mempunyai majoriti terbesar.

Sudah pastilah kaum yang majoriti berhak untuk memimpin kaum yang minoriti. Walaupun begitu, agama mestilah terus menjadi teras kepada kepimpinan Melayu Islam. Ianya bertepatan dengan Islam sebagai agama persekutuan yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Mereka mestilah menjadikan Islam sebagai asas memimpin perpaduan rakyat dan penyatuan umat dalam merealisasikan konsep “Keluarga Malaysia” yang dicita-citakan.

Demikianlah antara kesimpulan yang diberikan oleh kedua-dua ahli panel program Dialog Keluarga Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang di Dewan Orang Ramai Taman Tas Kuantan bersama 80 orang peserta dari kalangan warga penduduk Cina dan India bukan Islam sekitar Taman Tas di sini pada 11 November.

Dialog yang menampilkan Pegawai Khas Pejabat Menteri Besar Terengganu (Hal Ehwal Bukan Islam), Dr Balachandran Gopal Krishnan dan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Kuala Lumpur Dr Ann Wan Seng, menarik perhatian para peserta dengan reaksi dan respon yang amat baik semasa sesi soal jawab.

Seusai dialog, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan pek makanan asas kepada para hadirin yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Panching, Yang Berhormat Ustaz Tarmizi Yahya.

Turut hadir bersama ialah Ketua Kampung (Tok Empat) Pandan Dua, Haji Abdul Radzi Ahmad, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Tas, Suhaimi Mahidin dan Pengarah YADIM Pahang, Ustaz Mohamad Hazmi Dibok.

Sebanyak 80 pek makanan asas yang disumbangkan oleh YADIM kepada para hadirin yang terdiri dari kalangan warga India dan Cina- yang memerlukan sekitar Taman Tas.

Program ini adalah salah satu dari aktiviti sempena Bulan Dakwah 2.0 YADIM yang digerakkan di seluruh negara bermula 8 Oktober hingga 31 Disember 2021.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *