Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu dipersetujui oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek selaras dengan peruntukan Seksyen 17 (1) (f) Perlembagaan USIM (Wakil Alumni) bagi tempoh tiga tahun mulai 1 Februari 2019 hingga 31 Januari 2022.

Mohd. Hariri yang merupakan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Dakwah DAN Pengurusan Islam) USIM pada tahun 2009 dan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (2016).

“Beliau juga merupakan Penolong Pengarah Bahagian Maqasid Syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Mohd Hariri yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti atas kapasiti alumni telah memberi pelbagai sumbangan kepada universiti sejak zaman beliau menjadi mahasiswa USIM,” kata kenyataan itu di sini.

Menurut kenyataan itu, Mohd. Hariri pernah dipilih sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM dan Presiden Kelab Debat selain aktif mewakili universiti sebagai pendebat Bahasa Melayu semasa menjadi pelajar universiti itu.

Beliau juga pernah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri, Anugerah Pekerja Harapan Jakim dan menjuarai Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia sepanjang bertugas di Jakim.

Tambah kenyataan itu, bekas pelajar USIM berkenaan pernah dipilih oleh kedutaan Amerika Syarikat pada 2018 sebagai peserta program berprestasi tinggi, International Visitor Leadership Program (IVLP) untuk berkursus di negara tersebut.

“Selain memberi sumbangan kepada masyarakat melalui lapangan dakwah, beliau juga aktif dalam bidang penulisan dan menulis lebih 12 buah buku. Beliau pernah mendapat kedudukan lima teratas Buku Paling Popular tahun 2015 serta Buku Pilihan Perpustakaan Negara 2018,” kata kenyataan itu. – Utusan Malaysia